Isnin, 13 Januari 2020

Kekeliruan Liberal mengenai hukum murtad

DR. AHMAD SANUSI AZMI
 


KUMPULAN bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, dengan mengatakan bahawa keputusan seorang Muslim untuk keluar agamanya adalah perkara antara individu itu dengan Tuhan. Menurut laporan Free Malaysia Today, mereka menyatakan bahawa tiada hukuman yang diperuntukkan di dalam al-Quran.

Ini adalah kekeliruan yang jelas oleh golongan yang berfikiran Liberal yang memperjuangkan hak kebebasan individu. Hukuman murtad ini telah termaktub di dalam al-Quran dan hadith. Sarjana Muslim berhujah dengan ayat 74 dari Surah al-Taubah yang menjelaskan bahawa mereka yang kafir akan dikenakan azab di dunia.

Menurut al-Imam Ibn Kathir, ‘azab di dunia’ yang dimaksudkan ini adalah (mereka yang murtad) akan dihukum bunuh di dunia. Al-Imam al-Tabari dan al-Qurtubi turut memberikan makna yang sama seperti ini.

Di dalam hadith pula, hukuman terhadap murtad sangat jelas. Rasulullah bersabda:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.”

(HR al-Bukhari) 

Hukuman ini pernah dilaksanakan secara praktikal di zaman Rasulullah. Rasulullah mengutuskan Abu Musa al-Asy’ari dan Muaz bin Jabal sebagai pemerintah di Yaman. Apabila Muaz tiba di Yaman, dia diadukan tentang seorang Yahudi yang murtad. Mendengar perkara ini, Muaz lantas berkata:

لا أجلس حتى يقتل، قضاء الله ورسوله ـ ثلاث مرات ـ فأمر به فقتل

“Aku tidak akan duduk sehinggalah dia dibunuh atas hukuman yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul. Maka lelaki tersebut diperintahkan agar dibunuh.”

(HR al-Bukhari).

Al-Imam al-Darqutni pula meriwayatkan kisah di mana seorang perempuan telah murtad di zaman Rasulullah. Perkara ini diceritakan oleh Jabir ibn Abdullah. Kata beliau:

أنَّ امرأة يُقال لها أُم مروان ارتدت فأمر النبي صلى الله عليه وسلَّم بأنْ يُعرَض عليها الإسلام فإنْ تابت وإلا قتلت، فأبت أنْ تُسلِم فقتلت

“Seorang wanita dikatakan namanya Ummu Marwan telah murtad di zaman Rasulullah. Maka Rasulullah mengarahkan agar diajak (dan diterangkan kepadanya) mengenai Islam. Sekiranya dia bertaubat (maka akan dilepaskan) dan sekiranya tidak maka dia akan dibunuh. (Apabila diajak kembali kepada Islam), perempuan tersebut ingkar lalu dia dibunuh.”

(HR al-Darqutni dan al-Bayhaqi).

Hukuman bunuh ke atas murtad ini adalah hukum yang ditentukan di dalam al-Quran dan hadith. Rasulullah, para Sahabat serta pemerintah Islam di zamannya turut mengamalkan perundangan yang sama.

Mempertikaikan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah dan Rasul adalah refleksi kepada keimanan kita terhadap Allah dan Rasul ini.

Semoga Allah membimbing kita semua.  HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: