Isnin, 6 Januari 2020

Jangan bongkak! kata Ronnie kepada Bersatu

Kasthuri Jeevendran
MGF09122019_Bukit-Aman_02
Ahli Parimen Sungai Pelek, Ronnie Liu.


KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, Ronnie Liu mengingatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya tidak bongkak sehingga membelakangkan suara-suara lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi menentukan pengganti Dr Mazlee Malik.

Katanya, pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri untuk kali kedua berjalan lancar walaupun hakikatnya Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Ini kerana pemimpin-tertinggi gabungan Pakatan Harapan yang lain kesemuanya gentlemen.

“Mereka menghormati persetujuan yang telah dicapai beberapa minggu sebelum berlangsung pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek dalam hantaran di laman Facebook berkata, pelantikan Menteri Pendidikan bagi menggantikan Maszlee yang meletakkan jawatan 2 Januari lalu merupakan perkara yang sangat penting.

“Hakikatnya, PH sudah tidak boleh melalui satu lagi kesilapan.

“Adalah lebih baik untuk Perdana Menteri cuba menerima cadangan yang dilontarkan oleh pimpinan tertinggi komponen setiap parti supaya satu pelantikan bijak serta tepat dapat dilaksanakan kali ini,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Penerangan Bersatu merangkap Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin berkata, Perkara 43 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat perdana menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri dalam kalangan mana-mana ahli satu majlis parlimen.

“Ini juga bermakna bukanlah menjadi keperluan untuk perdana menteri berbincang pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.

“Dalam konteks pelantikan menteri pendidikan yang baharu,  di mana penyandang sebelum ini adalah daripada parti BERSATU tidak wujud keperluan bagi PH untuk bermesyuarat bagi memilih seorang pengganti daripada parti Bersatu,” ujarnya.

Kenyataan Radzi itu dipercayai reaksi kepada harapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya pelantikan menteri pendidikan yang baharu dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Harapan.

Pendapat Guan Eng itu bagaimanapun disanggah beberapa pihak yang rata-rata menyifatkan terpulang kepada perdana menteri untuk menentukan pengganti Maszlee.

Baca: Maszlee lepas jawatan Menteri Pendidikan

Dalam pada itu, Ronnie juga mendedahkan bagaimana sekurang-kurangnya 61 peratus penyokong tidak begitu gembira dengan pentadbiran pada masa ini dan sesuatu perlu dilakukan.

“Jadi, dalam isu seperti ini, perbincangan membawa kebaikan apatah lagi ianya akan memberikan semangat kepada semua (komponen PH) untuk terus bersatu hati serta semangat berpasukan yang ketika ini lemah.

“Sebanyak 61 peratus daripada penyokong tidak begitu gembira dengan kerajaan pada masa ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: