Rabu, 8 Januari 2020

Apa sudah jadi dengan laporan kajian UEC?

Manzaidi Mohd Amin
MGF21112019_SIDANG-PARLIMEN_14
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas minta Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) mengemukakan status terakhir laporannya kepada rakyat untuk dinilai dan diberi pandangan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sejak pasukan itu dibentuk pada Oktober 2018 sehingga kini belum ada sebarang laporan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Walaupun mandat diberikan kepada pasukan itu hanya enam bulan, tetapi sekarang sudah melangkau 15 bulan laporan akhir PPDUEC masih gagal dibentangkan kepada umum.

“Kita percaya laporan itu telah siap dan sepatutnya PPDUEC serah kepada Kementerian Pendidikan untuk dikemukakan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, PPDUEC ditubuhkan untuk mengumpul dapatan isu kontroversi Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Kemudian, katanya, laporan itu akan mengemukakan syor kepada Kementerian Pendidikan, walaupun isu itu tidak dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

UEC adalah isu besar melibatkan kepentingan awam dan juga Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Akta Pendidikan 1996,” katanya.

Merujuk kenyataan PPDUEC kelmarin, laporan akhir dikatakan hanya akan diserahkan kepada Menteri Pendidikan yang baharu.

“Padahal, jika dirujuk kepada kenyataan Kementerian Pendidikan 4 Oktober 2019, laporan akhir mesti diserahkan pada akhir Oktober lalu tanpa penangguhan lagi.

“Kelewatan penyerahan laporan itu sepatutnya tidak wajar berlaku,” katanya.

PPDUEC dipengerusikan penulis dan budayawan, Eddin Khoo bersama dua ahli panel, Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Timbalan Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sin. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: