Sabtu, 25 Januari 2020

Amalan rohani bukan penyebab prestasi akademik merosot

Ustazah Dr Suriani Sudi

 

Pegang portfolio menteri agama, tapi tak mampu perjuang isu Islam

SELAMA bertahun-tahun kita saksikan, pelajar-pelajar daripada sekolah agama mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang dan seringkali mendapat antara ranking teratas di seluruh negara.

Lihat saja sekolah seperti Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Sekolah Menengah Agama Kajang, Sekolah Menengah Labu, dan sekolah-sekolah menengah integrasi.

Hakikatnya, amalan kerohanian tidak pernah menjadi penyebab kepada kemerosotan atau menjadi gangguan kepada prestasi akademik murid.

Suara-suara yang cuba menyalahkan amalan kerohanian ini cuba memisahkan agama dari kehidupan sedangkan agama itu sendiri adalah kehidupan.

Kehidupan kita ini akan sentiasa disibukkan dengan sesuatu. Jika bukan disibukkan dengan perkara yang baik dan bermanfaat, maka ia akan disibukkan dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan.

Setiap pagi dalam bacaan solat dan zikir, pelajar menetapkan kembali azam untuk menjadi insan yang cemerlang.

Setiap hari dalam bacaan doa, pelajar memohon kepada Allah untuk dijauhkan daripada rasa malas, takut dan sikap-sikap negatif lain.

Pelajar juga diajarkan untuk bangun di tengah malam untuk berdoa dan menangis meluahkan masalah kepada Allah, yang mampu membawa ketenangan dalam hidup yang tengah resah. Malah inilah rahsia kehebatan umat Islam.

Kita lihat saja di barat, mereka pilih untuk hidup tanpa agama. Mereka pilih untuk menjadi athies.

Kononnya amalan-amalan kerohanian tidak mampu dibuktikan kejayaannya dari sudut Sains dan logik akal.

Kemudian lihat pula berapa ramai antara mereka yang hidup jadi tunggang langgang tiada arah tuju?
Stress lalu pilih untuk bunuh diri?

Hidup tanpa nilai dan peraturan yang akhirnya merosakkan masyarakat umum?

Malah hari ini, banyak pula gerakan di barat yang menyeru masyarakat mereka kembali kepada agama, kerana melalui agamalah mereka menemui ketenangan, mereka belajar tentang prinsip-prinsip yang patut dipegang dalam kehidupan.

Ada pula gerakan-gerakan yang menyeru cara hidup meditasi, yoga dan sebagainya sebagai sumber ketenangan bagi insan-insan yang sentiasa sibuk.

Prinsip-prinsip seperti the 5am Club “diperkenalkan” sebagai sumber kejayaan masyarakat barat.

Nah, mereka semua kembali perjuangkan amalan-amalan yang sudah lama diajar dalam Islam, dan memberikannya nama baru tanpa mengaitkannya dengan tuhan yang benar.

Malang sekali, bagi kita hari ini kerana mempunyai pemimpin beragama Islam, memegang porfolio Menteri Agama namun tidak mampu untuk perjuangkan dan bersuara dalam isu-isu umat Islam seperti ini.

*Ustazah Dr Suriani Sudi- Ketua Wanita ISMA

Tiada ulasan: