Sabtu, 18 Januari 2020

10 pengerusi PKR negeri desak Zuraida dipecat

ALYAA ALHADJRI



Sepuluh pengerusi PKR negeri hari ini membuat desakan terbuka agar salah seorang naib presiden mereka digugurkan.

Desakan itu dibuat kira-kira sejam selepas diketahui Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada naib presiden terbabit, Zuraida Kamaruddin.

Dalam kenyataannya, Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul, berkata mereka mengadakan pertemuan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan sebelum itu.

Hasil pertemuan itu, katanya, bersetuju untuk mendesak agar Zuraida dipecat kerana didakwa melanggar disiplin parti serta mengkritik keras presiden mereka, Anwar Ibrahim.

"Hari ini kami menggesa - selepas menerima desakan sama dari akar umbi, ketua-ketua cabang di negeri-negeri - untuk kami (pengerusi PKR) membuat pendirian tegas menuntut agar Zuraida disingkirkan dari parti.

"Kami dengan ini menuntut supaya lembaga disiplin mengkaji sedalam-dalamnya semua tuduhan-tuduhan yang telah dibuat terhadap beliau," katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu juga mendakwa, kedudukan Zuraida - yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan - tidak membantu parti sama sekali.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul
Beliau juga mendakwa tuntutan itu mendapat sokongan daripada majoriti ahli akar umbi di kebanyakan negeri.

Semasa membuat kenyatan itu, Johari diiringi sembilan lagi pengerusi PKR negeri termasuk dari Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dari Perak, Fuziah Salleh (Pahang) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Johor).

Untuk rekod Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun turut hadir dalam pertemuan sebelum sidang media tersebut.

Tiga pengerusi negeri yang tidak hadir ialah Baru Bian (Sarawak), Christina Liew (Sabah) dan Amirudin Shari (Selangor).

Menurut Johari, desakan untuk Zuraida dipecat dibuat walau apa pun reaksi yang akan diberikan ahli parlimen Ampang itu terhadap surat tunjuk sebab parti.

Sementara itu Farhash yang juga pembantu khas Anwar mendakwa, persepsi bahawa Zuraida mendapat sokongan ramai ahli akar umbi sebenarnya tidak benar.

"Macam di Perak, daripada 24 cabang 22 daripadanya mahu Zuraida dipecat... jadi untuk mengatakan beliau popular dalam kalangan Wanita, juga tak betul," dakwanya.

Fuziah yang juga bekas ketua Wanita PKR juga sependapat dengan kenyataan Farhash.

Kata ahli parlimen Kuantan itu, Zuraida sudah hilang sokongan dalam kalangan anggota parti.


Tiada ulasan: