Khamis, 14 November 2019

Video baru: Lelaki mirip Aziz Bari ajak tukar MB

MALAYSIAKINI
 
Satu lagi video kontroversi didakwa melibatkan pemimpin kanan Perak muncul.

Dalam rakaman terbaru, lelaki itu dikatakan memujuk tiga anggota dewan undangan negeri (Adun) Umno, yang tidak dinamakan, untuk menyokongnya menjadi menteri besar menggantikan Ahmad Faizal Azumu.

Lelaki yang bercakap dalam video lima minit yang dimuat naik ke Internet itu mirip exco negeri daripada DAP Aziz Bari.

Bagaimanapun tidak jelas bila dan di mana pertemuan itu berlaku.

Rakaman itu juga tidak menunjukkan pihak lain yang mengasak Aziz berkaitan sokongan terhadapnya daripada wakil-wakil rakyat Perak.

Menurut lelaki mirip Aziz itu, seorang lelaki yang dirujuk kepada “Haji” daripada Bersatu memberitahunya mereka mahu “Peja” (Faizal) dibuang dan digantikan dengan Aziz.

“Saya cakap OK-lah,” kata lelaki mirip Aziz itu.

Lelaki itu mendakwa tiada masalah dengan sokongan istana dan mempunyai angka cukup bagi menyokongnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Aziz berkaitan kesahihan dan penyebaran video itu.

Bagaimanapun, memetik FMT, Aziz berkata beliau telah pun berulang kali berkata tidak terlibat dalam rancangan menjatuhkan Faizal.

Sinar Harian pula melaporkan beliau tidak tahu dan tidak pernah menonton video itu.

"Video-video yang dibuat oleh orang-orang tak rasmi, yang tak tahu siapa buat ini saya tak dengar pun. Jadi jangan tanya pasal ini.

“Cuma seingat saya benda ini dah lama Disember tahun lepas atau awal tahun ini.

“Jadi benda ini bukan barulah tapi benda yang dah diulas dan saya fikir tak perlu ulas lagi,” katanya.

Beliau juga membangkitkan masa isu itu timbul yang menurutnya “setiap kali sidang DUN ada”.


Tiada ulasan: