Ahad, 10 November 2019

Tg Piai nampak positif untuk BN masuk minggu ke-2, kata Najib

Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak ditemui di kedai 
kopi Keng Guan Hiong di PDM Jalan Rimba Terjun sebelum 
pulang ke KL. (Gambar Facebook)
 
PONTIAN: Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak berkata situasi di Parlimen Tanjung Piai nampaknya positif untuk gabungan itu masuk minggu kedua kempen pilihan raya kecil.

“Tetapi kita kena teruskan usaha sampai habis,” katanya ketika ditemui di kedai kopi Keng Guan Hiong di PDM Jalan Rimba Terjun sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Najib bersama calon BN, Wee Jeck Seng beramah mesra dengan pengundi di Tanjung Piai.

Semalam, Najib berkata ramai pengundi di Tanjung Piai dilihat sudah kembali menyokong BN tidak kira Melayu atau Cina.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum itu menafikan pengundi di Tanjung Piai akan beralih sokongan daripada gabungan itu.

Pada PRU14 Mei tahun lalu, Md Farid Md Rafik dari PPBM memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas dan Kukup dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih ialah 52,986 orang termasuk 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak Pakatan Harapan mengambil tampuk kepemimpinan pusat susulan kemenangan pada PRU Mei tahun lalu.

Tiada ulasan: