Khamis, 21 November 2019

Rombak segera Kabinet untuk selamatkan ekonomi negara

Manzaidi Mohd Amin
mazlimalik
Mazli Noor

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa mengambil tindakan tegas dan segera bagi meleraikan ketidaktentuan yang melanda pasaran Malaysia sekarang.

Tegas Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor, ketidaktentuan itu semakin meningkat susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil Tanjung Piai Sabtu lalu, yang menjejaskan keyakinan pelabur kepada pasaran negara.

Justeru, kata beliau, pihaknya mencadangkan Dr. Mahathir mempertimbangkan beberapa langkah bagi menyelamatkan pasaran Malaysia, seperti menyegerakan rombakan kabinet bagi membolehkan pasukan yang lebih berkeupayaan untuk menguruskan ekonomi dan pasaran negara menjalankan tugas.

“Ini penting kerana hanya pasukan jemaah menteri yang mampu sahaja perlu diamanahkan bagi membetulkan semula pasaran, seterusnya menyelesaikan ketidaktentuan dan ketidakyakinan yang melanda Malaysia.

“Ini hanya boleh dilakukan oleh jemaah menteri yang berkaliber, berpengetahuan dan profesional, faham selok belok ekonomi makro dan pasaran untuk membetulkan senario semasa ini.

“Untuk tujuan ini, pakar teknokrat juga perlu dipertimbangkan dan dilantik sebagai menteri sekiranya layak dan tidak terhad di kalangan Ahli-ahli Parlimen sedia ada sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau juga mencadangkan Dr. Mahathir mengambil keputusan tegas, sama ada akan terus kekal sebagai perdana menteri atau tidak.

Kata Mazli, bagi pihak pasaran, persoalan siapa yang menjadi perdana menteri adalah pertikaian politik yang di luar bidang mereka.

Namun mereka perlukan ketentuan dan kepastian siapakah calon yang akan menerajui Malaysia untuk bergerak ke hadapan.

“Sekiranya Dr. Mahathir merasakan beliau masih perlu untuk menerajui kerajaan, nyatakan sekarang supaya semua ketidaktentuan yang menghantui pasaran ketika ini dapat dilenyapkan.

“Sebaliknya juga sekiranya ada calon lain yang beliau rasakan layak sebagai pengganti, harus dilakukan peralihan segera,” katanya.

Beliau memberitahu, langkah seterusnya yang perlu dipertimbang oleh Dr. Mahathir ialah menggerakkan segera inisiatif bagi merangka strategi jangka pendek dan panjang untuk merencanakan semula ekonomi Malaysia.

“Sebagaimana ulasan kami berhubung Belanjawan 2020 yang lalu, perlu ada inisiatif strategik baharu bagi memacu dan mentransformasikan model ekonomi Malaysia yang masih terperangkap dalam kerangka lama yang bergantung kepada input modal.

“Model ekonomi sekarang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah utama yang masih membelenggu rakyat dan negara iaitu kos sara hidup yang semakin meningkat dan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan,” katanya.

Beliau menjelaskan, mengikut maklumat dari MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research, sehingga 18 November lalu, pelabur asing telah mengeluarkan sebanyak RM8.98 billion dana daripada pasaran ekuiti Malaysia.

Keterlibatan pelabur asing juga, tegas Mazli, merosot daripada kadar purata normal 30 peratus kepada purata harian sebanyak 13.6 peratus.

“Ini amat membimbangkan dari segi daya saing pasaran Malaysia dan keyakinan pelabur,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: