Rabu, 13 November 2019

TMJ pulangkan semula imbuhan untuk JDT kepada k'jaan negeri

MALAYSIAKINI




Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan memulangkan kembali imbuhan wang tunai RM500,00 yang diterima pasukan itu daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata insentif itu pada awalnya diberikan sebagai dorongan di atas semangat serta komitmen yang ditunjukkan pasukan JDT ekoran kejayaan memenangi Piala Malaysia 2019.

"Bagaimanapun, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja telah berkenan untuk mengurniakan semula insentif ini kepada kerajaan Negeri Johor, hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Sahruddin, pengurniaan semula imbuhan berkenaan oleh Tunku Ismail sebagai salah satu usaha untuk membantu kerajaan negeri melestarikan alam sekitar di Johor.  

"Kurniaan semula ini adalah bagi menampung pembelian bot pengutip sampah untuk tujuan pembersihan sungai-sungai di negeri Johor demi melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah pencemaran yang berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Sharuddin berkata kerajaan negeri menjunjung setinggi-tinggi kasih dan penghargaan atas keprihatinan Tunku Ismail.

Pada 2 Nov lalu, pasukan JDT yang mendapat bimbingan Benjamin Mora menewaskan Kedah 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di hadapan lebih 80,000 ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiada ulasan: