Ahad, 10 November 2019

Peluang PAS berdakwah kepada MCA, kata Idris

MALAYSIAKINI
 
 

PRK TG PIAI | Pembabitan PAS memberi sokongan penuh kepada MCA di Tanjung Piai disifatkan salah seorang pemimpin parti itu sebagai peluang keemasan untuk menjelaskan Islam kepada masyarakat Cina.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata apabila parti berkawan dengan mana-mana pihak mereka tetap mengutamakan Islam dan "menjulang" agama tersebut.

Katanya hal itu ditunjukkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang bercakap mengenai Islam kepada orang Cina dan pemimpin MCA di Tanjung Piai.

"Tuan Guru Haji Hadi tetap bercakap mengenai Islam walaupun di hadapan orang Cina dan pemimpin MCA di Tanjung Piai. Peluang keemasan untuk menerangkan Islam diambil.
 
"PAS berkawan dengan siapa pun, Islam tetap dijulang," katanya dalam satu kemas kini di media sosial.

PAS - yang sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap jumlah anggota parlimen bukan Melayu yang didakwanya lebih ramai di Dewan Rakyat - memberikan sokongan penuh kepada MCA di Tanjung Piai.

Semasa mengulas kenyataan Abdul Hadi itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan pada Dis tahun lalu, daripada 222 anggota parlimen, 140 adalah Muslim dan hanya 82 yang bukan beragama Islam.




Dalam PRK kali ini pembangkang diwakili Wee Jeck Seng, manakala PH memilih Ketua Bersatu Tanjung Piai yang juga bekas calon gabungan itu untuk kawasan parlimen Pontian, Karmaine Sardiri.

Abdul Hadi ketika ditanya mengenai rasional di sebalik sokongan tersebut memberitahu, Malaysia perlukan anggota parlimen bukan Islam yang tidak ekstrem di parlimen.

Kata Idris sikap PAS tidak sama dengan pemimpin "rahmatan lil alamin" dalam kerajaan - dipercayai merujuk kepada Amanah dalam gabungan PH.

Menurutnya, pemimpin terbabit takut menceritakan Islam kepada orang bukan Islam.

"Nanti takut DAP marah," katanya merujuk kepada parti yang pernah menjadi sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.


Tiada ulasan: