Ahad, 10 November 2019

Guan Eng belasah pembangkang ‘kiri kanan’

Kasthuri Jeevendran
MGF10112019_Konvensyen-Tahunan-Negeri-DAP-Selangor_13
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2019 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Dari awal sehingga ke akhir ketika berucap pada Konvensyen Negeri DAP Selangor 2019, Lim Guan Eng tidak henti-henti membelasah dan menyindir parti pembangkang ‘kiri kanan’, terutamanya Pas dan UMNO.

Setiausaha Agung DAP itu mendedahkan bagaimana Kementerian Kewangan yang diterajui olenya sebagai Menteri masih lagi ‘berbelas hati’ dalam meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada kerajaan negeri Kelantan pada tahun ini.

“Tahun lepas kita lulus RM91.5 juta pula kerana tidak mampu bayar gaji sehingga mohon kerajaan persekutuan pula bantu bayar gaji,” katanya.

Sindir Guan Eng, bagaimana sesebuah parti seperti Pas yang tidak mampu mengendalikan ekonomi negeri Kelantan sehingga terpaksa memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan kerana tidak mampu membayar gaji penjawat awam.

“Pembangkang bercakap tentang prinsip, cakap tentang keadilan tapi menyokong dan bekerjasama pula dengan Barisan Nasional (BN) yang rasuah ini. Saya juga tidak faham bagaimana apa yang dilakukan oleh BN sebelum ini terutamanya bab rasuah boleh diterima serta disokong.

“Bayangkan apa yang terjadi jika rakyat Malaysia menyokong pembangkang yang tidak pandai tadbir urus ekonomi? Kerajaan negeri tidak mampu mereka tadbir sehingga terpaksa pinjam pula dengan persekutuan.

“Kita tidak sehingga tahap hasad dengki, kita terus bagi apa yang mereka minta kerana ini libatkan kebajikan rakyat. Walaupun kita kena bantai, kecam dan maki hamun, kita akan tetap beri bantuan tersebut.

“Habislah kita jika benarkan pembangkang seperti ini untuk perintah negara kelak sedangkan ekonomi negeri sendiri tidak mampu diuruskan dengan baik. Bagaimana hendak menjaga negara?
Habislah,” katanya di hadapan kira-kira 300 perwakilan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya sebentar tadi.

Kata Guan Eng lagi, rata-rata pembangkang terutamanya UMNO dan Pas juga menggunakan isu-isu kaum tertentu bagi menutup kelemahan terutamanya dengan palitan skandal rasuah di mata rakyat.

“Tengoklah bagaimana isu-isu perkauman dengan begitu esktrem digunakan oleh pembangkang untuk mengaburi mata rakyat pada masa ini. Ini juga untuk menutup kelemahan mereka yang terpalit dengan pelbagai kes rasuah.

“Saya sendiri baru sahaja balik dari berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tangjung Piai malam tadi. Kita dalam Pakatan Harapan (PH) ada perbezaan besar antara pembangkang.

“Kalau kita tengok parti pembangkang, kita tidak lihat mereka tawarkan wawasan atau impian untuk semua, sebaliknya hanya kaum atau agama tertentu. Itulah perbezaan antara PH dan pembangkang.
“Kita jaga semua, bukan satu kaum atau kelompok sahaja. Kita jaga anak-anak Malaysia.
Pembangkang hanya mahu jadi jaguh satu kumpulan sahaja, kerana mahu tutup kelemahan mereka.

“Apa yang mampu pembangkang tawarkan? Hanya sekadar rasuah, mereka ambil RM1 juta dan beri rakyat RM10,000. Rakyat juga gembira kerana mendapat dana itu tanpa menyedari apa yang telah dilakukan oleh kumpulan ini. Yang tanggung kerugian adalah anak-anak kita nanti. Ini yang kita ingin terangkan.

“Kita tidak boleh pandang mudah semua ini dan membiarkan kumpulan pembangkang ini menjadi kerajaan pintu belakang kelak,” tegasnya.

Guan Eng menggesa rakyat malah ahli parti DAP sendiri supaya tidak sesekali termakan dengan agenda ektrem perkauman yang sedang dimainkan oleh pembangkang sehingga terkeliru yang padanya akan merugikan pada masa hadapan.

“Kita perlu bersatu agar tidak senang untuk di jatuhkan dengan senang-senang. Biarkan PH memerintah sehingga habis mandat lima tahun ini. Jangan sesekali sangka tidak ada bahaya. Ada pihak yang mahu gagalkan tempoh untuk kita cukup waktu mentadbir.

“Ini bahaya, jangan main-main. Paling penting dalam politik, kita tahu siapa kawan dan siapakah lawan kita. Jika anda gagal dan tidak dapat bezakan, habislah kamu semua. Dalam parti sendiri, kita kena sentiasa teguh,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: