Rabu, 20 November 2019

Nelayan Tanjung Piai tanya bila dapat duit bantuan RM1,000

Wartawan MalaysiaGazette
MGF12112019_CERAMAH-PEMUDA-MUAFAKAT-NASIONAL19
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Semalam genap minggu kedua Kerajaan Negeri Johor berjanji untuk menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 kepada nelayan-nelayan di Tanjung Piai.

Bagaimanapun, kata, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki, bantuan yang dijanjikan masih belum disalurkan.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO itu memberitahu, Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berjanji untuk menyampaikan sumbangan itu pada minggu lalu.

“Pagi tadi Abang Mat dari Kampung Jeram Batu Tanjung Piai telefon saya minta Pemuda UMNO bantu bertanyakan JANJI Menteri Besar Johor untuk menyalurkan bantuan RM1,000 kepada nelayan-nelayan di Tanjung Piai.

“Hari ni sudah masuk minggu kedua janji Kerajaan PH Johor yang kononnya hendak sampaikan wang sumbangan tersebut minggu lalu.

“Apakah ini satu lagi siri-siri penipuan PH kepada rakyat?” soal Asyraf.

Pada 6 November lalu, Sahruddin memaklumkan seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 bermula minggu ini.
BACA: Nelayan Tanjung Piai terima RM1,000 minggu depan

Katanya, pemberian bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta itu akan berikan secara berperingkat melalui tiga fasa.

“Kawasan yang terlibat (pemberian bantuan khas) termasuk di Gelang Patah dan Pulai (432 nelayan), Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau (537) serta Pontian dan Tanjung Piai (544 nelayan),” kata Menteri Besar itu.

Bantuan itu diberikan selepas masyarakat nelayan di Tanjung Piai mendakwa wang sagu hati atau wang ihsan yang pernah dinikmati sejak 2016 masih belum diterima sehingga kini.

Nelayan-nelayan di Tanjung Piai mendakwa mereka menikmati bantuan sebanyak RM2,000 semasa pemerintahan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: