Rabu, 20 November 2019

Lagi 'mesej palsu' menjelang mesyuarat biro politik PKR


Lebih banyak mesej palsu yang menyasarkan pemimpin PKR beredar menjelang mesyuarat biro politik parti hari ini.

Ketika dihubungi, Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Mohd Nazree Mohd Yunus menafikan mesej yang menyebut namanya dan didakwa mengumumkan pembatalan sebuah mesyuarat yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham di Shah Alam.

"Itu bukan dari saya. Yang saya boleh sahkan mesyuarat (AMK oleh Hilman) diteruskan," kata Nazree kepada Malaysiakini.

Dipercayai mesej berkenaan dikongsikan dalam kumpulan aplikasi Whatsapp AMK sekitar jam dua petang hari ini, beberapa jam selepas Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil menafikan satu lagi mesej yang menyalahgunakan namanya.

Anwar turut menafikan dakwaan tersebut yang muncul ketika timbul tekanan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya mempercepatkan peralihan kuasa susulan kekalahan teruk PH pada PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Sementara itu, Nazree berkata terdapat "tangan ghaib" cuba menghalang kumpulannya, para pemimpin AMK yang dipilih pada pemilihan parti lalu daripada mesyuarat malam ini.

"Saya tak pasti apa tujuan pihak-pihak tertentu sebarkan message palsu...tapi saya yakin ada tangan-tangan ghaib yang mungkin takut dengan pertemuan kami.

"Tak perlu bimbang sekiranya mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Kesal, tak seharusnya berlaku. Tapi pihak berkenaan tak perlu risaukan kami," katanya.

Nazree mengesahkan semalam beliau telah mengeluarkan jemputan untuk mesyuarat hari ini dan memberitahu para pemimpin AMK negeri yang dilantik Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tidak dijemput.

Hilman dan Nazree mengatur pertemuan para pemimpin AMK selepas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengadakan pertemuan bersama anggota parlimen Umno dan PKR.

Pertemuan pertama berlangsung pada malam Isnin lalu di kediaman rasmi Azmin di Putrajaya, manakala satu lagi mesyuarat bersama MP PKR berlangsung di parlimen semalam.

Anwar telah menuntut penjelasan Azmin mengenai pertemuan dengan MP Umno tetapi menteri hal ehwal ekonomi berkata beliau akan menyemak jadualnya untuk menentukan sekiranya beliau dapat menghadiri mesyuarat biro politik PKR malam ini.

Tiada ulasan: