Mohammad Aimin dapat lebih perhatian daripada pengusaha tahfiz
KUANTAN
– Cemburu dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan pelajar sebuah
pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh dekat sini, yang berakhir dengan
kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun, Mohammad Aimin Nurul Amin pada
Khamis lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan
berkata, mangsa, yang baru belajar di situ mulai pertengahan Oktober
lalu difahamkan mendapat lebih perhatian daripada pasangan suami isteri
yang mengusahakan pusat tahfiz berkenaan.
“Mangsa yang merupakan pelajar paling
muda di situ juga difahamkan agak mesra dan manja dengan pasangan
tersebut sehingga dipercayai menimbulkan perasaan cemburu dalam kalangan
pelajar lain yang membawa kepada pergaduhan,” katanya semasa dihubungi
di sini, hari ini.
Abd Jalil berkata, bedah siasat di
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh semalam, mengesahkan punca
kematian Mohammad Aimin adalah disebabkan trauma pada dada dan abdomen
oleh permukaan atau objek tumpul.
Beliau memaklumkan tiga pelajar pusat
tahfiz berusia 13 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kematian
Mohammad Aimin, kini direman sehingga Khamis depan bagi membantu
siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam, melaporkan kematian
Mohammad Aimin yang disahkan meninggal dunia sekitar 1.20 tengah hari
Khamis, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang di
Temerloh.
Mohammad Aimin dibawa ke klinik itu oleh
isteri pengusaha pusat tahfiz berkenaan, yang menemui mangsa dalam
keadaan lemah di asrama, selepas menyedari mangsa tidak bersama pelajar
lain ke masjid bagi menunaikan solat zuhur.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan
lebam pada tubuh mangsa, yang difahamkan dihantar ke pusat tahfiz itu
bersama abang tirinya.
Pusat tahfiz yang terletak di Kampung
Kuala Kaung, Lanchang itu difahamkan mula beroperasi sejak awal tahun
lepas dan tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang
(JAIP) dan setakat ini mempunyai 14 pelajar, dengan hanya empat
daripadanya menetap di asrama. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan