Jumaat, 12 Julai 2019

Usah gopoh hapus Akta Hasutan

siti hafidah

 

Kerajaan PH kena bukti takkan lakukan penyalahgunaan akta: PAS

BANGI – Langkah menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam berikutan negara masih memerlukan satu akta bagi mencegah perilaku yang menggugat keselamatan negara, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Meminta kerajaan tidak gopoh menghapuskan akta itu hanya kerana satu atau dua kes yang berlaku mutakhir ini, beliau berkata, kerajaan mesti mengambil kira semua faktor dan jangkaan masa hadapan, sekiranya Akta Hasutan dihapuskan demi menjaga kestabilan negara.

“Ini masa yang terbaik untuk kerajaan baharu membuktikan tidak akan melakukan penyalahgunaan akta. Sebaliknya, kerajaan mesti menjunjung kedaulatan undang-undang dan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk dilayan dengan adil. Berikan kebebasan sepenuhnya kepada badan kehakiman di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 sudah ada dan sedang dalam proses penyusunan.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu itu dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, perbuatan menghasut apatah lagi menanam kebencian sama ada melalui tulisan atau ucapan boleh mewujudkan ketegangan antara kaum serta mengancam kestabilan negara.

Justeru, sekiranya Akta Hasutan dihapuskan, maka kerajaan akan terlewat untuk mengawalnya jika berlaku kekacauan di negara ini, katanya.


Tiada ulasan: