'Kami kekal dengan prinsip, tak akan jilat ludah sendiri terima Bersatu'
BANGI
– UMNO menolak pelawaan Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti
politik Melayu tempatan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(Bersatu).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed
Khaled Nordin berkata, penolakan itu berikutan UMNO berpegang pada
prinsip dan tidak mahu menjilat kembali ludah sendiri dengan menerima
Bersatu.
“Malah, dalam banyak kenyataan sebelum
ini, UMNO berpendirian Bersatu bukan suara sebenar orang Melayu. Ia
hanyalah rakan kongsi DAP yang tidak serius dengan agenda Melayu,”
katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Dr Mahathir mengajak semua parti
politik Melayu bergabung di bawah Bersatu demi memastikan orang Melayu
terus menjadi kuat.
Beliau berkata, setakat ini sudah ada
enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi
ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah.
Khaled berkata, beliau tidak terkejut
jika ada mana-mana parti politik berhasrat bekerjasama dengan UMNO,
tetapi tergamam dan kelu selepas Bersatu mengajak UMNO untuk menyertai
pasukan kecil mereka.
“Seingat saya, UMNO sudah mati, seperti
yang didakwa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. UMNO sudah rosak
dan parti yang korup kerana kononnya mahu mempertahankan sesetengah
pemimpin sahaja seperti yang dikecam Tun Mahathir.
“Jadi, adakah kini Tun Mahathir dan
tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara
ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?,” soalnya.
Justeru, beliau berpendirian tegas bahawa
UMNO akan kekal menjadi UMNO dengan prinsip dan aspirasi akan terus
berikhtiar mengubah diri menjadi lebih baik.
“Dengan cara dan jalan kami demi orang
Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih maju. Kami tidak mahu menjadi
parti terdesak dan gila kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan
cara yang sewajarnya. Saya hanya berharap Tun Mahathir tidak menghalang
kebangkitan dan pemulihan UMNO,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan