Ahad, 7 Julai 2019

Sikap Kadir malapetaka baharu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

 

Kesal wartawan veteran buat ugutan cuba tutup kelemahan kerajaan PH

BANGI– Reaksi Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin terhadap tulisan seorang pensyarah universiti amat dikesali kerana berbau tekanan dan ugutan, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad.

Beliau berkata, sebagai individu berpengalaman luas di dunia media, Kadir sewajarnya menghadapi tulisan ahli akademik secara hujah ilmiah.

“Malangnya Datuk A Kadir memberi reaksi terhadap tulisan itu dengan melabelkan Abdul Muein telah menabur fitnah dan kepalsuan.

“Sedangkan tulisan bertajuk ‘400 Hari PH Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara’ itu adalah kesimpulan dari himpunan fakta-fakta umum yang bukannya pendedahan sulit atau rahsia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kamaruzaman berkata demikian susulan tindakan Kadir membidas tulisan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi yang mengkritik keras kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menjual harta negara.

Tokoh wartawan negara itu menuduh Abdul Muein yang memuat naik status di laman Facebooknya, Selasa lalu, menyebar maklumat palsu, tidak lengkap dan membuat kesimpulan songsang mengenai kerajaan PH.

Lebih teruk Kamaruzaman berkata, Kadir turut meminta Menteri Pendidikan memberi penjelasan dan pencerahan kononnya takut-takut menjadi mangsa mainan kayu tiga oleh “the deep state”.

“Ini hanya manifestasi kepada ketidakyakinan dan ketidakpercayaan beliau kepada menteri selain perpecahan teruk bukan sahaja antara parti dalam PH, tetapi juga sesama parti,” katanya.

Pada masa sama, Kamaruzaman menyifatkan kedudukan Kadir bersama elit kuasa politik dengan sikapnya menjadi satu lagi malapetaka baharu yang jelas cuba menutup pendedahan kelemahan kerajaan dengan ugutan.

“Jika pendedahan ilmiah dari ahli akademik menerima layanan sedemikian, maka tidak hairan selepas ini mereka akan terus mengekang sebarang pembongkaran salah urus tadbir dan kelemahan kerajaan PH,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau juga berkata, arahan Kadir supaya pihak UKM dan Kementerian Pendidikan memantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik sangat bercanggah dengan Janji 50 Manifesto PH.

Manifesto PH menyatakan mahu ‘memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin, serta semua institusi pengajian tinggi awam mempunyai autonomi yang sewajarnya’.

“Keadaan ini akan memusnahkan integriti dan kebebasan serta hak asasi yang sebelum ini gah kononnya diperjuangkan pimpinan PH. Ini menunjukkan slogan perjuangan PH sebelum ini, sebenarnya hanyalah retorik untuk meraih sokongan rakyat semata-mata,” katanya.


Tiada ulasan: