Rabu, 10 Julai 2019

‘Transgender? You pergi periksa dia tak?’ – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak mengetahui kesahihan mengenai laporan media berhubung lantikan Rania Zara Medina yang didakwa transgender, sebagai Ahli Jawatankuasa di dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan.

“Transgender, you pergi periksa dia tak. Sebab saya tak tau macam mana dia transgender sebab saya tak jumpa dia,” katanya berseloroh. 

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji kesan tindakan kerajaan negeri Johor yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun.

“Tindakan (kerajaan negeri) itu kita nak kaji apa kesannya dan kenapa dia buat benda ini. Kita tidak tahu mendalam tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan Johor,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan negeri Johor mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehingga pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 diwartakan pada 2021.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Mengenai pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata perkara itu terpulang kepada parti pembangkang berkenaan.
“Mereka mahukan Najib balik, terpulanglah kepada mereka. Itu hal BN, kena tanya BN,” katanya.

Tiada ulasan: