Khamis, 18 Julai 2019

Pensyarah maut kereta masuk parit

Amirul Aiman Hamsuddin
 
 
 

PERJALANAN tiga pensyarah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Air Tawar menuju ke tempat kerja berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di simpang tiga di Jalan Sekolah, Kampung Banting, Sabak Bernam, hari ini.

Kejadian pada 7.50 pagi itu mengakibatkan Norzeera Ahmad, 39, maut selepas Perodua Bezza dipandu rakannya, Zubaidah Mohd Esa, 37, gagal mengelak motosikal melintas dari bahu kiri jalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Seorang lagi pensyarah, Lidyawati Haris, 35, cedera di bahagian badan manakala Zubaidah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) berikutan hamil dua bulan.

Sementara itu, penunggang motosikal Mohammad Faris Azam Shah Shahrom, 20, parah di kepala dan patah tangan kiri serta kaki kanannya.

Difahamkan, Norzeera sepatutnya mengajar subjek Operasi Restoran di PSIS pada 8 pagi.

Rakan sekerja Norzeera, Ahmad Fahmi Mohd Zaini, 40, berkata, dia menerima berita mengenai kemalangan itu dari rakan lain pada 8.30 pagi.

“Arwah (Norzeera) sudah empat tahun berulang-alik dari rumahnya di Kuala Selangor ke PSIS.
Kebiasaannya, dua rakan arwah (Zubaidah dan Lidyawati) bergilir bersama arwah berkongsi kereta pada setiap minggu untuk ke tempat kerja.

“Malah, arwah tidak pernah menunjukkan raut penat atau bermasam muka meskipun berulang hampir 79 kilometer setiap hari,” katanya kepada Harian Metro.

Ahmad Fahmi berkata, kali terakhir dia berjumpa Norzeera pada 13 Julai lalu sempena Majlis Konvokesyen Ke-14 PSIS.

Beliau berkata, arwah tidak menunjukkan apa-apa perubahan, dia kelihatan ceria dan bersemangat menguruskan majlis itu bersama rakan pensyarah lain.

“Sepanjang hayat, saya akui arwah dikenali warga PSIS, mesra dengan pelajar dan rakan, tidak pernah marah dan cukup peramah.

“Kehilangan Norzeera cukup dirasai seluruh warga Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti memandangkan beliau seorang pensyarah berdedikasi dan komited dalam tugas,” katanya.

Jenazah Norzeera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Persiaran Hamzah Alang, Meru Klang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati Perodua Bezza dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala
Selangor menuju ke Sungai Lang manakala motosikal Suzuki dari Kampung Banting menuju ke Jalan Sekolah, Kampung Banting.

“Tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai cuba mengelak motosikal dari arah bahu jalan kiri yang melintas ke simpang tiga Jalan Sekolah.

“Namun, pemandu gagal mengelak lalu merempuh motosikal itu sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit menghala ke arah Sabak Bernam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya

Tiada ulasan: