Selasa, 16 Julai 2019

PAS-UMNO tubuh kerajaan PRU15

tyrazalhe

 

Momentum politik beri gambaran rakyat mahu perubahan dalam negara

BANGI– PAS hari ini sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan gabungan parti kerajaan, Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menerusi Gagasan Sejahtera akan terus berta’awun dengan UMNO dan Barisan Nasional untuk menubuhkan kerajaan, sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, buat masa ini, PAS akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan Agenda Perpaduan Ummah bersama UMNO, di samping tidak meninggalkan parti komponen lain dalam BN, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin Muafakat Nasional yang diterajui oleh UMNO dan PAS serta disokong oleh parti-parti lain kini adalah pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” katanya.

PAS dan UMNO kembali ‘rujuk’ selepas PRU14 lalu, apabila buat pertama kali selepas lebih 60 tahun, pemerintahan negara bertukar tangan kepada parti lain iaitu PH.

Biarpun pernah berseteru selama beberapa dekad, namun kedua-dua parti berkenaan mengambil pendekatan untuk bersama semula bagi merealisasikan agenda perpaduan ummah.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO, untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Dr Mahathir berkata, banyaknya parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

Bagaimanapun, pelawaan Dr Mahathir itu ditolak baik oleh PAS dan UMNO, yang rata-ratanya mahukan Bersatu meninggalkan PH dan menyertai kerjasama dua parti berkenaan.


Tiada ulasan: