Antara punca kerana kurang penghayatan agama, masalah kewangan
SHAH ALAM
– Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor
menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun lepas, kata Ketua Hakim
Syarie Negeri Selangor, Mohammad Adib Husain.
Beliau
berkata bagi tempoh tersebut, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
(JAKESS) menunjukkan 11,860 permohonan cerai difailkan tahun lepas
berbanding 12,203 kes pada 2017 dan 12,513 kes (2016).
Mohammad
Adib percaya penurunan ini, antara lain, disebabkan oleh beberapa
inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam
Selangor (JAIS) dan JAKESS bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di
negeri berkenaan.
“Antara
inisiatifnya adalah seperti kursus pasca perkahwinan, seminar kefahaman
undang-undang syariah, kaunter runding cara dan kaunter bahagian
sokongan keluarga JAKESS yang dibuka pada tarikh yang ditetapkan melalui
hebahan kepada pelanggan Mahkamah Syariah ini,” katanya kepada Bernama,
di sini.
Menurut
beliau, sebagai sebuah negeri maju, ramai umat Islam dari negeri lain
atau dari negara luar berhijrah ke Selangor untuk mencari rezeki
menyebabkan mana-mana pasangan yang bermasalah lebih cenderung untuk
memfailkan permohonan perceraian mereka di sini.
“Walaupun
bilangan permohonan perceraian di Selangor menunjukkan trend penurunan,
namun jumlahnya diakui masih tinggi berbanding negeri-negeri lain dan
antara puncanya adalah disebabkan faktor kepadatan penduduk,” katanya.
Tambah
beliau, berdasarkan rekod jabatan, antara faktor yang mendorong
perceraian pasangan Islam adalah kurangnya penghayatan agama; tiada
persefahaman; masalah kewangan, curang; campur tangan keluarga dan
keganasan rumah tangga, selain pengaruh media sosial.
Beliau
berkata, disebabkan permohonan perceraian dilihat menurun saban tahun,
JAKESS terus berusaha menyelesaikan kes-kes tersebut sama ada secara
prosiding mahkamah biasa ataupun melibatkan proses kerja ‘fast track’
bagi memudahkan individu terbabit untuk memulakan hidup baharu.
Kata
Mohammad Adib, berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 8,022 kes
permohonan perceraian berjaya diselesaikan menerusi proses kerja ‘fast
track’ pada tahun 2016 hingga 2018 iaitu 3,519 kes bagi 2016; 2,238 kes
(2017) dan 2,265 kes pada tahun lepas.
“Bagi
tahun ini bermula Januari sehingga Jun lepas pula, sebanyak 7,013
permohonan cerai difailkan dengan 1,279 kes telah diselesaikan secara
fast track,” katanya.
Tegas
beliau, walaupun ada pihak membangkitkan konsep perceraian ‘fast track’
antara punca jumlah kes cerai tinggi di Selangor, perlu difahami bahawa
ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya diguna pakai sekiranya
mahkamah berpuas hati wujudnya pecah belah atau ‘shiqaq’ dalam
permohonan cerai mana-mana pasangan.
Selain
itu, permohonan pasangan terbabit juga mesti menepati beberapa syarat
ditetapkan iaitu penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir
ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai
secara baik serta harmoni; dan isteri dalam keadaan suci dan tidak
berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut, jelas Mohammad Adib.
Proses
kerja kes cerai ‘fast track’ yang diperkenalkan JAKESS pada tahun 2015
itu bertujuan untuk mengurangkan lambakan kes tertangguh di jabatan
berkenaan dengan menyelesaikan permohonan cerai yang menepati syarat
ditetapkan dalam masa enam jam.
Dalam pada
itu, Mohammad Adib memberitahu selain proses kerja ‘fast track’, kes
perceraian yang melibatkan prosiding perbicaraan di mahkamah masih
dilaksanakan seperti biasa membabitkan kes tuntutan fasakh, cerai
taklik, khuluk (tebus talak) serta tuntutan perceraian dan pengesahan
cerai taklik.
“Bagi
kes-kes permohonan perceraian yang tidak melalui proses kerja ‘fast
track’, sebanyak 24,322 kes bagi tempoh 2017 hingga Jun tahun ini
berjaya diselesaikan dan selebihnya masih menjalani prosiding mahkamah,”
katanya.
Tambah
beliau, antara usaha yang dilakukan jabatan berkenaan bagi
mempercepatkan pengurusan kes-kes tersebut termasuklah memperkenalkan
pelaksanaan hakam dalam permohonan cerai melalui Kaedah-kaedah Hakam
(Negeri Selangor) 2014 selain menjalankan perbicaraan pada waktu malam. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan