Sabtu, 13 Julai 2019

Melaka tak galak kereta lembu sebagai tarikan

Nurul Fhatihah Zakinan
 
 

KERAJAAN Melaka tidak akan meneruskan usaha mengembalikan perkhidmatan kereta lembu atau kuda sebagai ikon tarikan pengangkutan pelancongan negeri di jalan raya.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beberapa faktor perlu dilihat jika pengangkutan dua roda tradisional itu digunakan sebagai tarikan pelancongan kerana ia membabitkan kebersihan dan kesihatan haiwan itu di jalan raya.

“Kerajaan tidak ada perancangan untuk memperkenalkan semula kereta lembu dan kereta kuda, malah tidak digalakkan.

“Antara sebab, sisa pembuangan lembu yang tidak mengira masa dan tempat selain kesihatan dan kebersihan lembu itu. Begitu juga dengan kuda,” katanya kepada NSTP di Melaka.

Beliau mengulas kejadian lembu jatuh tersungkur dipercayai terlalu penat selepas menarik beban berat di pusat bandar yang tular di laman sosial, baru-baru ini sehingga mendapat kecaman daripada netizen supaya menghapuskan tradisi perkhidmatan kereta lembu yang dilihat satu bentuk penyeksaan kepada haiwan selain isu kebersihan jalan raya.

Netizen turut meninggalkan komen menyarankan supaya jika ada keperluan mempertahankan identiti warisan negeri itu, perlu ditempatkan di satu tempat khas untuk pelancong bergambar tanpa digunakan untuk pengangkutan.

Muhammad Jailani berkata, bagaimanapun, operasi perkhidmatan kereta lembu yang kembali beroperasi di Bandar Hilir baru-baru ini bukan produk di bawah kerajaan negeri.

“Perkara (kereta lembu) ini bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Jadi saya harap, PBT boleh koordinasi dengan perancangan bahagian pelancongan negeri supaya melihat keperluan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin berkata, penggunaan kereta lembu atau kuda perlu dilihat berdasarkan kesesuaian lokasi dan majlis bukannya di jalan awam yang boleh menggangu kelancaran trafik dan menimbulkan kacau ganggu.

“Jalan awam tidak sesuai kerana permukaannya, selain masalah najis serta tempat menyimpan dan makanan haiwan ini tidak sesuai di kawasan awam.

“Bagaimanapun, kita boleh mempertimbangkan lokasi sesuai yang dikhaskan laluannya seperti perkampungan Hang Tuah,” katanya.

Kereta lembu pernah menjadi ikon pengangkutan utama negeri suatu ketika dahulu selain dua roda tradisional itu menjadi simbol kemasyhuran zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, namun hampir pupus sejajar arus pembangunan moden.

Tiada ulasan: