Ahad, 7 Julai 2019

Mangsa banjir di Melaka meningkat kepada 745 orang

(Gambar Bernama)

MELAKA: Jumlah mangsa banjir kilat di Melaka setakat 2.00 petang tadi meningkat kepada 745 orang melibatkan 150 keluarga, berbanding 141 orang daripada 18 buah keluarga pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Effendy Ali berkata 6 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

“Enam buah PPS itu ialah PPS Balai Raya Bukit Balai mencatat perpindahan 34 mangsa daripada 7 keluarga, PPS Masjid Al-Rasyidin (166 orang daripada 39 keluarga), PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan (118 orang daripada 33 keluarga).

“PPS Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam (50 orang daripada 10 keluarga), PPS Balai Raya Kampung Beringin (90 orang daripada 15 keluarga), PPS Sungai Tuang (9 orang daripada 2 keluarga),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata PPS Balai Raya Panchor mencatat peningkatan bilangan mangsa kepada 117 orang berbanding 81 pelajar dan kakitangan pusat tahfiz pagi ini.

Jumlah mangsa banjir PPS Balai Raya Gadek turut mengalami peningkatan kepada 66 orang daripada 17 keluarga berbanding 14 orang daripada 7 keluarga dilaporkan pagi ini.

Jumlah mangsa banjir di 2 PPS tidak berubah iaitu 4 orang daripada sebuah keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Pegoh dan 13 orang daripada 4 keluarga berteduh di PPS Bukit Tambun.

Tiada ulasan: