Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari membenarkan permohonan Anggota
Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman membatalkan saman
dikemukakan dua wakil rakyat DAP berhubung dakwaan parti itu cuba
menghapuskan sistem beraja di negara ini.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Latifah Mohd Tahar.
Saman berkenaan difailkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anggota Parlimen Damansara Tony Pua.
Peguam
kepada dua wakil rakyat DAP itu, Farhan Haziq Mohamed memaklumkan
pembatalan saman itu dibuat tanpa dikenakan sebarang kos.
Farhan memberitahu Malaysiakini, mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan defendan tidak menerbitkan kenyataan berbaur fitnah.
"Mahkamah membatalkan saman berkenaan tanpa mengenakan sebarang kos (untuk dibayar kepada Tajuddin)
"Bagaimanapun,
kami masih boleh mengemukakan rayuan ataupun memfailkan permohonan
baru, kami mempunyai masa untuk berbuat demikian," katanya ketika
ditemui selepas prosiding.
Loke
dan Pua memfailkan saman terhadap anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno
itu melalui firma guaman Tetuan Ezzah & Associates di Pejabat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mac lalu.
Kedua-dua
pemimpin DAP itu menyaman Tajuddin berhubung ucapannya di Kampung Jawa
pada malam sebelum pilihan raya kecil parlimen Sungai Kandis pada 3 Ogos
tahun lepas.
Calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Zawawi Ahmad Mughni
memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 5,842 undi, menewaskan calon
BN, Lokman Noor Adam dalam pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4
Ogos 2018.
Loke dan Pua berkata Tajuddin dalam ucapannya mendakwa
mereka merupakan penganut Kristian dan bersama-sama rakan mereka dalam
DAP berusaha untuk bukan sahaja menyebarkan agama itu tetapi juga
menghapuskan raja-raja Melayu.
Tajuddin juga didakwa mengatakan
kedua-dua MP DAP itu berusaha menubuhkan sistem pemerintahan seperti di
Singapura yang mana tidak memiliki raja atau sultan.
Selain itu Tajuddin dalam ucapannya juga didakwa mengatakan mereka mahu mendirikan sebuah negara republik.
Kenyataan defendan disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘Christian DAP’ salvo to close BN’s Sg Kandis campaign’ yang dimuat naik oleh portal berita itu pada malam yang sama dia berucap.
Dalam
kenyataan tuntutan mereka, Loke dan Pua menafikan mereka ialah mubaligh
Kristian dan berkata kenyataan Tajuddin menggambarkan mereka tidak
menjalankan tugas mereka sebagai menteri dan ahli parlimen, malah
sebaliknya menggunakan kedudukan mereka untuk mengangkat agenda politik
peribadi.
Bagaimanapun, Tajuddin tidak hadir pada sesi prosiding hari ini dan hanya diwakili penguamnya, Hasnal Rezuan Merican.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan