Khamis, 11 Julai 2019

K'jaan kaji kemungkinan 'campur tangan istana' di Johor


   
Perdana menteri berkata kerajaan akan mengkaji sama ada wujud campur tangan dari istana Johor berhubung isu had umur belia yang menyaksikan kerajaan negeri membuat dua pusingan U beberapa hari lalu.

Menurut Dr Mahathir Mohamad kerajaan akan melihat sama ada alasan yang diberikan di sebalik keputusan tersebut boleh diterima atau sebaliknya.

Ditemui media di lobi parlimen hari ini, Mahathir ditanya mengenai isu keputusan berubah-ubah diumum kerajaan Johor mengenai had umur belia di negeri itu.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan berharap pihak istana tidak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Johor.

Kata bekas menteri besar Johor itu beliau dimaklumkan pihak istana memberi pandangan mengenai isu had umur belia, tetapi Putrajaya percaya kerajaan negeri harus diberikan ruang untuk melaksanakan dasar-dasar yang seragam di seluruh negara.

“Saya minta MB dan exco Johor (fikir) masak-masak (dan) pergi jumpa (pihak istana) dan jelaskan perkara itu dan diharap istana tidak memberi arahan atau campur tangan.

“(Beri) pandangan boleh, tapi keputusan mesti supaya Johor dan negeri lain seragamkan perkara yang sama,” katanya.

Ada perbincangan dibuat
 
Kata Mahathir sebelum ini pihak istana pernah campur tangan dalam sesetengah urusan negeri.
"Sebab itu mereka membuat kenyataan sebegitu," katanya.

Justeru, kata perdana menteri, kerajaan akan mengkaji perkembangan di negeri di selatan itu untuk mendapatkan maklumat sebenar apa yang berlaku.

"Kami akan kaji dan lihat sama ada alasan yang diberikan itu boleh diterima atau tidak," katanya.
Dewan Rakyat pada 3 Julai lalu meluluskan rang undang-undang meminda had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Bagaimanapun beberapa negeri mengekalkan umur 40 tahun untuk had umur maksimun bagi belia. Satu daripadanya ialah Johor.

Pengumuman mengenai keputusan Johor itu dikeluarkan pejabat menteri besar pada 8 Julai.
Bagaimanapun sehari kemudian kerajaan Johor menyatakan keputusan mereka menerima pindaan tersebut agar selaras dengan takrifan peringkat pusat.

Kurang dari 12 jam kemudian kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan untuk menarik balik pengumuman kedua, dan kembali menerima had umur belia di negeri itu ialah 40 tahun.

Exco bagi portfolio belia Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali, berkata keputusan terbaru itu dibuat selepas "perbincangan lanjut dan nasihat beberapa pihak".

Tiada ulasan: