Khamis, 11 Julai 2019

Ibrahim Ali cabar buat pungutan suara rakyat Akta Hasutan

Manzaidi Mohd Amin
MGF11072019_PUTRA-LAPORAN-POLIS-HIMPUNAN-PEMBEBASAN-WANJI03
Presiden penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan polis terhadap perhimpunan pembebasan Wan Ji di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat referendum atau punggutan suara di kalangan rakyat berhubung cadangannya hendak memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Presiden penaja parti itu, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau yakin jika pungutan suara diadakan, majoriti rakyat Malaysia tidak menyokong cadangan itu dan mahu akta berkenaan dikekalkan.

Lagipun, katanya, sebelum menggantung atau menghapuskan Akta Hasutan di Dewan Rakyat, kerajaan mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu terlebih dahulu.

“Tetapi, perkara itu belum lagi dibuat oleh kerajaan PH. Ini ertinya Akta Hasutan 1948 masih berkuatkuasa sehingga hari ini.

“Bagaimana aktivis pro PH boleh mengadakan perhimpunan di depan Penjara Kajang menuntut pembebasan penjenayah Wan Ji Wan Hussin?

“Sedangkan, penceramah bebas itu telah dijatuhkan hukuman satu tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas kesalahan menghasut dan menghina Sultan Selangor serta Institusi Raja-Raja Melayu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi di sini, hari ini.

Dr. Ibrahim berkata, beliau membuat laporan meminta polis memanggil dan menyiasat tindakan 30 aktivis terbabit dalam perhimpunan itu sebagaimana dilaporkan portal atas talian Malaysiakini telah mengeluarkan kenyataan bersifat jenayah berat.

Katanya, kumpulan itu yang diketuai Pengarah Akademik Saudara.org, Lim Hong Siang dan Pengerusi BERSIH, Thomas Fann telah melakukan jenayah menghina Mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah membuat keputusan memenjarakan Wan Ji selama satu tahun atas kesalahan di bawah Akta Hasutan

“Mereka juga melakukan jenayah menghina Raja-Raja Melayu apabila menyatakan sokongan terhadap penceramah bebas itu yang merupakan seorang penjenayah apabila disabitkan kesalahan menghina Sultan Selangor

“Selain itu, kumpulan terbabit telah melakukan jenayah menghasut apabila mendesak kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan memperlekehkan keberkesanan akta dalam memelihara keharmonian rakyat.

“Saya percaya gerakan aktivis yang dilakukan kumpulan ini adalah satu gerakan subversif terancang bagi menjayakan rancangan Wan Ji untuk menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu pada tahun 2030 dan rancangan itu boleh ditonton melalui pautan Youtube,” ujarnya.

Beliau berkata, selain kumpulan aktivis terbabit tidak menghormati Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Artikel 153 Perlembagaan Negara, mereka berhujah kononnya hukuman itu tidak perlu dan bukan lagi menjadi kesalahan atas alasan Akta Hasutan dalam proses untuk dihapuskan.

“Ini semua andaian dan cuba bayangkan jika akta berkenaan tidak ada. Kalau dihapus, apa yang diucapkan oleh Wan Ji kira halallah.

“Moralnya cuba kita bayangkan ketika Akta Hasutan masih wujud pun mereka bercakap macam-macam yang boleh menimbulkan ketegangan dan pergaduhan di kalangan rakyat.

“Cuba bayangkan betapa seriusnya perkara ini, sebab itu, parti Putra dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berulang kali menegaskan betapa pentingnya Akta Hasutan ini dipertahankan,” tegas beliau.

Beliau yang juga Presiden Perkasa menjelaskan, apa yang dilakukannya bukan untuk kepentingan diri atau sesiapa sahaja, tetapi bagi menjaga keamanan iaitu keselamatan negara.

Ujarnya, tindakannya itu bukan saja setakat hendak menjaga Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Islam agama persekutuan, tapi pentingnya jika isu berkenaan dikait dan diperkatakan dengan pelbagai cara sehingga menimbulkan ketegangan dan pergaduhan antara rakyat Malaysia.

“Parti Putra dan NGO Perkasa bukan kumpulan retorik cakap sana cakap sini, nak bela itu nak bela ini dan akhirnya tak ada apa sebagaimana berlaku dalam PH sekarang.

“Kita adalah golongan yang bertindak. Sebab itu, hari ini saya sendiri yang datang buat laporan polis kerana saya anggap kes ini terlalu serius,” katanya.

Mengikut fakta pertuduhan, Wan Ji didakwa telah mengeluarkan kata-kata biadab terhadap Sultan Selangor khasnya dan sultan lain umumnya melalui laman Facebook beliau pada 8 November 2012

Antara kata-kata Wan Ji kepada sultan dan Raja-raja Melayu ialah “Jenis syaitan tak baca hadis Nabi…”, “Bahana bodoh agama tapi nak jadi ketua agama…”, “Perasan bagus, tapi bodoh agama…”,
“Buang je Sultan-Sultan ni…”, “Perabis duit rakyat…”, “Si syaitan ni buat projek pembodohan…”,

“Bila orang bodoh, dia akan berkuasa…”, “Firaun moden…”, “Nak kaya dalam keadaan bodoh adalah jadi Sultan…”, “Kalau di Malaysia, yang buat kerja (pembodohan) ni adalah UMNO dan Sultan…”. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: