Rabu, 17 Julai 2019

Beri pendidikan politik supaya tak ‘babi buta’ laksana undi18

Oleh Athirah Huda Zalhe 
 
Ahli politik jangan ambil kesempatan ajar remaja berpolitik di sekolah


BANGI– Ahli politik diminta tidak mengambil kesempatan menggunakan golongan remaja dengan mengajar mereka bermain politik kepartian di sekolah, susulan dasar baharu menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Malaysia melakar lagi sejarah baharu apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Seramai 211 menyokong usul itu dan tiada ahli Parlimen yang menolaknya dalam undi belah bahagi yang diadakan selepas perbahasan oleh wakil-wakil rakyat pemerintah dan pembangkang.

RUU itu lulus dengan sokongan 2/3 Dewan Rakyat. Ia adalah pindaan pertama perlembagaan sejak pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Menghormati keputusan yang dibuat itu, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Azam Asri menzahirkan harapan supaya pelaksanaan polisi berkenaan dapat disusuli dengan usaha untuk mendidik remaja.

Beliau berkata, pendidikan politik dan kenegaraan juga perlu diberikan pada kadar sepatutnya supaya kerajaan tidak ‘membabi buta’ menjalankan polisi berkenaan.

“Didiklah mereka untuk sayangkan negara, menghormati perbezaan dan mengamalkan rukun negara sebagai pengikat kesatuan.

“Pasti kita tidak mahu remaja ini berbeza pendapat dengan guru-guru kerana perbezaan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Muhammad Azam berkata, badan autoriti dan ahli politik mesti tegas menolak sebarang budaya dan gejala yang merosakkan golongan ini, supaya tiada usaha daripada pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk meraih undi.

“Dari penelitian saya, minda remaja dan awal belia sekarang sangat terkait rapat dengan apa yang berada di media sosial. Apa yang tular, itulah yang membentuk cara fikir mereka.

“Pemain politik juga perlu mempamerkan contoh yang dicerminkan dari pendidikan itu. Kalau ada yang gagal, itu perlu kita hindarkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, persatuan belia dan remaja juga boleh diberikan insentif untuk membantu pihak kerajaan mendidik remaja serta awal belia.

“Semoga keputusan ini dapat melahirkan masyarakat yang lebih baik bukan menjadikan negara yang kacau bilau,” katanya.


Tiada ulasan: