Ahad, 21 Julai 2019

1MDB skim cepat kaya BN

siti hafidah  

 

Kerajaan PH terpaksa jimat cermat sebab tanggung hutang banyak


BANGI– Sebahagian besar daripada ‘najis’ ditinggalkan Barisan Nasional mungkin dapat diatasi dua atau tiga tahun lagi dengan pengurusan ekonomi dan kewangan yang lebih telus serta berhemah, kata Datuk A Kadir Jasin.

Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu berkata, walaupun amalan biasa bagi kerajaan berhutang, tetapi hutang menggunung yang ditinggalkan BN adalah berpunca daripada tadbir urus ekonomi dan kewangan yang tidak telus, rasuah, boros serta membazir.

Katanya, sebahagian hutang kerana Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja menjadi perdana menteri tetapi turut memegang jawatan menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akibat daripada hutang dan tanggungan yang terlalu banyak, Kadir yang mendapat Tokoh Wartawan Negara pada 2011 berkata, kerajaan terpaksa berjimat-cermat sehingga menjejaskan peruntukan kepada rakyat.

“Kerajaan kita pun daripada awal lagi berhutang. Mungkin banyak orang tidak tahu tetapi boleh kata kebanyakan waktu hasil kerajaan kutip kurang daripada jumlah yang kerajaan kena belanja. Sebab itu, sebelum dan selepas PH ambil alih kerajaan, kita amat mengambil berat isu hutang, khususnya hutang Kerajaan Pusat.

“Kita kata kerajaan BN boros, amalkan rasuah dan terlalu banyak berhutang. Jadi apabila PH menang, salah satu langkah terawal kita adalah menyiasat kedudukan hutang.

“Tapi apabila kita umumkan yang tanggungan hutang Kerajaan Persekutuan bukan RM600 bilion atau RM700 bilion macam kerajaan BN dakwa tetapi sebaliknya lebih RM1 trilion, banyak orang terkejut dan tidak percaya. Malah ada yang tuduh kita bohong,” katanya.

Kadir berkata, maklumat terbaru diberi Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet yang dipengerusikan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mendapati sehingga 31 Disember 2018, hutang kerajaan berjumlah RM741 bilion dan jaminan RM266.5 bilion menjadikan tanggungan hutang sebanyak RM1,090.8 trilion.

“Daripada jumlah itu, hutang 1MDB saja sebanyak RM32.2 bilion, sedangkan nilai hartanya hanya RM10 bilion. Sekali lagi terbuktilah bahawa 1MDB ini skim cepat kaya kerajaan BN yang sangat membebankan negara dan rakyat jelata.

“SRC International yang sedang menjadi bahan perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu pun asalnya milik 1MDB juga,” katanya.


Tiada ulasan: