Rabu, 12 Jun 2019

‘Saya terkilan Peguam Negara heret suami dalam kes Adib’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

 

Syazlin akan wakili semula keluarga Adib dalam prosiding inkues


KUALA LUMPUR– Peguam, Syazlin Mansor yang menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim terkilan apabila Peguam Negara, Tommy Thomas cuba mengaitkan suaminya dalam kes berkenaan.

Syazlin berkata, beliau percaya ia adalah satu tindakan berniat jahat untuk memburukkan nama baiknya dan juga suami, Ahmad Soffian Mohd Shariff.

“Apakah salah saya? Seorang peguam, ingin membantu keluarga arwah dan bomba secara Pro Bono? Ingin juga saya tekankan bahawa saya adalah peguam kes jenayah dan firma guaman saya hanya mengambil kes-kes jenayah sahaja.

“Saya amat terkilan apabila Peguam Negara mengheret suami saya dalam isu ini,“ katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Wisma Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, suami Syazlin, Ahmad Soffian meletakkan jawatan sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Ahmad Soffian berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 10 Jun 2019 dan akan mengambil cuti selama sebulan.

Sebelum ini, Tommy Thomas berkata, Syazlin diarah menarik diri ekoran risiko berlakunya konflik kepentingan memandangkan dia turut mewakili keluarga Adib, selain mewakili KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Thomas turut menyebut hubungan Syazlin dengan salah seorang pembantu menteri serta sebahagian pendiriannya yang bertentangan dengan timbalan pendakwa raya inkues, sebagai sebab dia diarah menarik diri.

Mengulas lanjut perkara itu, Syazlin berkata, pada tarikh 27 Mei 2019, iaitu tarikh beliau menarik diri daripada prosiding inkues, beliau ada bertanyakan kepada pegawai pengendali inkues, Faten Hadni berikutan pertikaian Peguam Negara terhadap lantikannya dan ingin menyingkirkannya sebagai peguam yang mewakili KPKT dan JBPM.

“Bukankah dari awal lagi Peguam Negara maklum saya mewakili KPKT, JBPM dan keluarga arwah? Puan Faten Hadni menyatakan bahawa memang benar Peguam Negara tahu dari awal hal ini, tetapi tidak membuat sebarang bantahan kerana Peguam Negara berpendapat saya akan membantu inkues ini dan bertindak secara bona fide (niat baik).

“Saya kemudian mempersoalkan bilakah masa Peguam Negara berpendapat bahawa saya tidak membantu inkues dan bertindak dengan mala fide (berniat jahat)?,” katanya.

Beliau berkata, Puan Faten menyatakan bahawa apabila Syazlin sentiasa bercanggah dengan kedudukan yang diambil oleh pegawai pengendali dan apabila beliau mempersoalkan teori pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perkara itu, katanya, boleh disahkan oleh peguam-peguam yang mewakili keluarga arwah, yang hadir pada tarikh 27 Mei 2019, kerana mereka mendengar sendiri soalan-soalan yang dikemukakan olehnya dan jawapan yang diberikan oleh Puan Faten.

“Saya berharap kenyataan yang saya keluarkan hari ini akan dapat menjawab persoalan dan kekeliruan yang sedang tular di kalangan masyarakat. Saya dengan ini juga ingin memaklumkan bahawa saya akan terus mewakili keluarga arwah dalam prosiding inkues ini,” katanya

Tiada ulasan: