Kes transaksi bank luar negara menteri dikendalikan timbalan SPRM
PUTRAJAYA– Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang
baharu, Latheefa Koya, memaklumkan beliau tidak akan terlibat dalam
siasatan, melibatkan dakwaan yang dibuat Pengerusi Sekretariat Suara
Rakyat Datuk Lokman Noor Adam, terhadap seorang menteri Kabinet.
Latheefa dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan kes itu akan dikendalikan timbalannya serta pasukan siasatannya.
“Saya tidak akan terlibat dalam apa-apa
cara, sama ada siasatan atau membuat keputusan,” kata beliau mengenai
laporan SPRM yang dibuat Lokman semalam, berhubung transaksi luar negara
meragukan ke dalam akaun bank milik seorang menteri pada akhir 2017.
Laporan itu meminta antara lain siasatan
dijalankan terhadap dakwaan pemindahan dana sejumlah AS$741,440 (RM3.085
juta), daripada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan di negara
ini ke akaun luar negara menteri berkenaan.
“SPRM akan menyiasat semua laporan secara profesional dan tidak berpihak kepada sesiapa,” kata Latheefa.
Latheefa dilantik sebagai Ketua
Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lepas menggantikan
Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang membuat keputusan memendekkan
kontraknya yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei 2020. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan