Tekanan perang perdagangan AS-China jejaskan industri utama
KUALA LUMPUR
– Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan pelabur
tidak memasuki pasaran disebabkan ketidaktentuan yang menyelubungi
perdagangan global dan ketegangan perdagangan semakin meningkat
membabitkan Amerika Syarikat (AS).
Pada 9 pagi, ringgit berada pada paras 4.1750/1780 berbanding dolar AS daripada 4.1650/1690 pada penutupan Jumaat.
MIDF Research dalam taklimat ekonominya
berkata, ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan
China telah melemahkan sentimen pengguna AS dengan inflasi jangka
panjang dijangka jatuh ke paras terendah, memandangkan prospek ekonomi
dunjurkan suram susulan tindakan Presiden AS Donald Trump meningkatkan
perang perdagangan.
Perang perdagangan juga telah menyebabkan
pertumbuhan output perindustrian China pada Mei berada pada paras
paling lemah sejak awal 2002, iaitu pada lima peratus tahun ke tahun.
“Tekanan daripada perang perdagangan
AS-China yang menunjukkan kenaikan tarif ke atas import China telah
menjejaskan pengeluaran perindustrian utama China,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga berkata,
bukan sahaja ketegangan antara AS dan China telah menyebabkan pelabur
mengambil pendekatan berhati-hati, tetapi kenaikan tarif dalam
pertikaian perdagangan antara India dan AS turut menjejaskan ekonomi
global.
“Tekanan negatif terhadap perdagangan tidak baik untuk ekonomi global,” katanya.
Semalam, dilaporkan India bertindak balas
dengan mengumumkan kenaikan tarif 70 peratus terhadap barangan AS
seperti epal serta badam, kekacang dan beberapa produk kimia.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama yang lain.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura
kepada 3.0448/0481 daripada 3.0457/0491 semasa ditutup pada Jumaat,
lebih tinggi pada 5.2572/2618 daripada 5.2691/2759 berbanding pound dan
naik berbanding euro kepada 4.6835/6873 daripada 4.6940/6989.
Mata wang tempatan juga meningkat berbanding yen kepada 3.8430/8461 daripada 3.8490/8534. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan