Rabu, 12 Jun 2019

Klip video lucah: Anwar tak sangka


   
Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau menyangka tuduhan skandal seks yang dikenakan terhadapnya adalah yang terakhir digunakan dalam politik negara ini.

Bagaimanapun katanya amat malang apabila kecenderungan menggunakan taktik sebegitu berterusan dengan munculnya dakwaan hubungan asmara sejenis membabitkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

"Sudah tentu saya sangka apa yang saya alami (sebelum ini) patut menjadi yang terakhir, tetapi malangnya trend ini seolah-olah berterusan dan ia amat menyedihkan, memualkan dan saya tidak faham mengapa ini harus terus berlaku," katanya.

Anwar ditemui media di Petaling Jaya selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik PKR petang tadi.

Antara lain mesyuarat itu membincangkan perkembangan terkini mengenai dakwaan seorang anggota PKR bahawa Azmin terlibat dalam hubungan sejenis.

Ia merujuk kepada rakaman klip video didakwa dirakam di sebuah hotel di Sandakan pada 11 Mei lalu.

Dakwaan tersebut dibuat Ketua Pemuda PKR Santubong yang juga setiausaha sulit kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin.




Azmin menafikan sekeras-kerasnya beliau adalah orang yang dilihat dalam rakaman video tersebut.

Untuk rekod Anwar disabitkan kesalahan atas tuduhan meliwat pada 1999 dan 2014 namun diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas PH menawan Putrajaya pada 9 Mei tahun lalu.

Kata Anwar beliau amat menolak permainan politik yang menggunakan kaedah sebegitu.

Menurutnya ia adalah salah dari pandangan moral, agama dan etika.

"Ini bukan cara kita patut menghakimi atau menilai seseorang dalam politik," katanya.

Tiada ulasan: