Rabu, 12 Jun 2019

Isu video seks: Hilman akan buat laporan qazaf esok


   

Satu laporan qazaf akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Putrajaya esok berhubung pengakuan seorang pemuda yang mendakwa melakukan hubungan intim dengan sorang menteri dalam satu video yang tular semalam.

Hal ini dimaklumkan setiausaha politik kepada menteri hal ehwal ekonomi, Hilman Idham.
Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina merupakan suatu kesalahan syariah.

Menurut Hilman pihaknya akan berbuat demikian selepas satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat terlebih dahulu.

"Esok InsyaAllah jam 10 pagi, satu laporan polis akan dibuat terhadap satu pengakuan jenayah oleh seorang pemuda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

“Kemudian, satu laporan qazaf juga akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan,
Putrajaya,” katanya selepas majlis solat hajat dan bacaan Yassin di kediaman Menteri Besar Selangor di Shah Alam, malam ini.

Majlis berkenaan disertai Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon serta beberapa pimpinan PKR yang lain.

Awal pagi tadi, Ketua Angkata Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz membuat pengakuan dirinya merupakan salah seorang individu dalam video seks yang tersebar itu.
Haziq yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin turut mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada hari ini juga menggesa Mahkamah Syariah Sabah segera bertindak ke atas individu yang membuat pengakuan terlibat dalam rakaman video seks menyasarkan seorang menteri kabinet, yang mula tersebar awal pagi semalam.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menggesa agar pemimpin dan anggota PAS tidak menyebarkan video tersebut.

"Sebagai seorang Muslim sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Bersama Azmin sepanjang PRK Sandakan

Petang tadi,Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali tampil menafikan beliau terbabit dalam sebuah video lucah yang sedang beredar di media sosial, menyifatkannya sebagai "tuduhan jahat dan kejam."

Selepas penafian itu, pihak yang tidak dikenali menyebarkan satu lagi klip video skandal seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden PKR itu dengan menjemput media melalui kumpulan WhatsApp dinamakan "Azmin Ali Part 2/4,".

Dalam pada itu, Hilman berkata pengakuan Haziq merupakan satu fitnah terhadap bekas menteri besar Selangor itu.

Jelas Hilman, sepanjang tempoh kempen PRK di Sandakan dia bersama-sama Azmin.

"Sepanjang Azmin berada di Sandakan dalam tempoh PRK Sandakan, saya berada bersama-sama beliau.

"Saya ada sewaktu beliau tiba di lapangan terbang hingga beliau balik semula ke lapangan terbang," katanya.

Sementara itu, Amirudin menyifatkan penyebaran video berkenaan sebagai fitnah jijik untuk menyekat kemaraan Azmin.

Amirudin mendakwa beberapa kejayaan Azmin sepanjang memimpin kementeriannya termasuk "menggegarkan" Felda kurang disenangi pihak tertentu.

"Ada yang tak senang dan rasa selesa dengan perubahan yang mula dilaksanakan dan akan laksanakan.

"Kita harus ada keyakinan, 20 tahun mengajar kita pelbagai kaedah kejahatan termasuk menggunakan fitnah salah laku seksual sebagai modal politik.

"Fitnah dan kerja-kerja jijik dan jahat ini dilemparkan untuk menghilangkan fokus kita," katanya.


Tiada ulasan: