KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mencari formula, sistem mahupun prosedur baharu untuk mengekang lambakan kemasukan warga asing ke negara ini khususnya dari negara Afrika.
Bekas Ketua Imigresen Operasi KLIA, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata antara sistem yang boleh digunakan ialah "Advance Passengers Clearance", iaitu satu sistem bagi mengenalpasti rekod-rekod jenayah melibatkan pelawat luar yang memasuki Malaysia.
Katanya, pendekatan baharu perlu dicari memandangkan jumlah kemasukan warga asing khususnya dari benua Afrika ke negara ini semakin bertambah sejak 1999 hingga kini, dan ia amat membimbangkan berikutan peningkatan jumlah kes jenayah kecil dan besar yang melibatkan warga asing itu.
"Sebab antara ancaman dia adalah jenayah, kes-kes militan. Sekarang ini kita lihat banyak warga negara kita kena tangkap dan ada warga asing.
"Ini ancaman kepada keselamatan kita," katanya dalam program Upsound terbitan Bernama News Channel.
Dalam pada itu, Shahul Hamid turut menggesa agar kerajaan mengguna pakai sistem "Psikometrik" di setiap pintu masuk negara, terutamanya di lapangan terbang, bagi memudahkan pihak penguat kuasa mengenal pasti niat dan tujuan para pelancong masuk ke negara ini.
Katanya, psikometrik adalah suatu instrumen pentaksiran yang direka bagi mendapatkan maklumat secara kualitatif dan kuantitatif secara tepat dan terlaksana tentang keupayaan seseorang bertindak balas.
"Maknanya, langkah je masa dia lalui depan pintu imigresen itu, kita boleh tahu sama ada dia ni pelancong tulen atau tidak. Beberapa soalan akan kita kemukakan kepada mereka, dan daripada jawapan yang menimbulkan keraguan, mereka tidak dibenarkan masuk," tambah beliau.
Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia, sepanjang 2018 sehingga hari ini, seramai 282 warga Afrika ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Terbaru, seorang lelaki Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin yang mayatnya ditemui dalam unit kondominium dekat Cyberjaya, pada 15 Mei lalu. -- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan