Kerajaan negeri perkenal inisiatif promosi RE kepada masyarakat
ISKANDAR PUTERI
– Kerajaan negeri sedang mengkaji pemasangan panel solar di
bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan di sini sebagai sebahagian
daripada inisiatif jangka panjangnya untuk mempromosikan tenaga yang
boleh diperbaharui (RE) kepada masyarakat.
Pengerusi
Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Johor,
Jimmy Puah Wee Tse berkata, kerajaan negeri sememangnya dijangka
menerajui pelaksanaannya.
“Kita kini
sedang berbincang dengan beberapa syarikat solar. Kerajaan negeri akan
memulakannya dahulu. Kami akan memperkenalkan penggunaan panel solar di
beberapa bangunan (pentadbiran).
“Selepas
kita memasang panel solar di bangunan-bangunan ini, kita akan mengajak
pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terlibat sama. Tahap ketiga ialah
penglibatan sektor swasta.
“Saya
ingin memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukannya. Jika
kerajaan boleh buat, saya harap PBT juga boleh buat, (setelah itu)
kenapa tidak sektor swasta juga melakukannya?” kata beliau kepada
Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau
menekankan bahawa kunci kepada inisiatif berkenaan bukan untuk mendapat
keuntungan wang ringgit tetapi lebih kepada mewujudkan kesedaran sosial,
kata Puah yang menambah, tenaga solar mempunyai potensi besar di Johor.
“Ada
banyak tempat kamu boleh memasang panel solar seperti di tempat letak
kereta, kompleks beli-belah, setesen bas dan sekolah. (Dan) adalah satu
pembaziran jika tenaga ini tidak dimanfaatkan.
“Kos bagi
panel solar juga telah turun menjadi sangat rendah…inilah masa yang
seduai untuk melakukannya dan ia juga menguntungkan untuk berbuat
demikian,” kata beliau.
Puah turut
gembira bahawa inisiatif kerajaan negeri itu mendapat sokongan Menteri
Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.
Beliau
berkata, perbincangan mengenainya (pemasangan panel solar di
pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan di Iskandar Puteri) yang telah
berjalan sejak beberapa bulan ini, kini sedang mengkaji satu “tempoh
yang selesa” dan situasi menang-menang antara kerajaan negeri dan
syarikat terpilih.
“Ia
melibatkan isu kos, format apa yang hendak diguna dan kita bukan
berunding dengan satu syarikat sahaja kerana kita melakukannya secara
tender terbuka. Jadi ada beberapa syarikat, malah syarikat-syarikat
asing juga berminat untuk melakukannya.
“Persetujuannya
ialah mereka sanggup mengetepikan apa-apa kos tetapi kita perlu
menandatangani perjanjian dengan mereka untuk satu tempoh yang lama,”
kata Puah.
Anggota
Dewan Undangan Negeri Bukit Batu itu juga berkata kerajaan negeri sedang
mengkaji satu tempoh yang selesa untuk perjanjian itu, iaitu tidak
melebihi 15 tahun.
“Saya
harap perjanjian ini dapat dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini
supaya kita boleh menggunakan panel solar itu tahun depan,” tambah
beliau.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan