Isnin, 10 Jun 2019

Pengangguran meningkat, siswazah terpaksa cari alternatif kerja

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Banyak syarikat Melayu 'gulung tikar' kerana tiada projek dari kerajaan



BANGI – Golongan siswazah disarankan supaya mencari alternatif lain dalam mendapatkan peluang pekerjaan, tanpa bergantung lagi dengan kerajaan.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, pertambahan kadar pengangguran yang dilaporkan setakat Mac tahun ini sudah mencapai 521,000 orang, di mana lebih 200,000 daripadanya adalah golongan siswazah.

Bimbang dengan statistik terkini itu, beliau berkata, jika keadaan ekonomi negara masih tidak pulih, jumlah pengangguran di negara ini akan terus meningkat.

“Dengan ‘pertembungan’ politik yang tidak kesudahan antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka isu perebutan kuasa akan terus mendominasi pemikiran pemerintah.

“Isu tiada peluang pekerjaan bukan lagi menjadi keutamaan. Penjawat awam yang bersara sudah tidak akan diganti, selaras dengan polisi kerajaan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, banyak syarikat Melayu yang dahulunya maju, kini sudah ‘gulung tikar’ disebabkan tidak lagi menerima sebarang projek terutamanya daripada kerajaan.

Pada masa sama, katanya, kos sara hidup kekal tinggi dan menekan rakyat terutama bagi mereka yang berada di bandar.

“Menteri Hal Ehwal Ekonomi masih belum mengemukakan langkah yang tuntas untuk ekonomi negara terutama golongan Bumiputera.

“Projek-projek besar pula banyak diberi kepada pelabur asing yang membawa sendiri kepakaran dari negara mereka menyebabkan peluang untuk rakyat tempatan tetap terbatas,” katanya.

Aminuddin berkata, peruntukan untuk agensi-agensi kerajaan juga tidak semewah sebelum ini, sehingga menyebabkan banyak perancangan terpaksa dihadkan.

“Jadi, kepada siswazah, eloklah mula memikirkan mencari alternatif lain tanpa bergantung lagi kepada kerajaan,” katanya.


Tiada ulasan: