Bekas plastik ada bahan bakar ditemukan dalam salah satu kenderaan
TELUK INTAN– Sebanyak 12 kenderaan terbakar dengan lapan daripadanya hangus dalam
satu kejadian dipercayai angkara khianat, di sebuah bengkel di Batu 2,
Jalan Maharajalela, di sini, awal pagi ini.
Ketua
Polis Daerah Teluk Intan, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dalam
kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, pemilik bengkel seorang lelaki
berumur 48 tahun mengalami kerugian mencecah RM150,000.
Katanya,
lokasi kebakaran merupakan ruang legar tempat letak kenderaan untuk
dibaiki bagi tuntutan insurans dan premis itu telah beroperasi sejak Mac
2018.
“Kunci dipegang oleh majikan dan kerani sahaja. Ketika kejadian pagar dalam keadaan berkunci serta baik.
“Premis
hanya mempunyai satu jalan masuk sahaja, dan terdapat kesan pagar
dipotong di sebelah kanan premis dipercayai laluan masuk suspek ke
kawasan kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd
Marzukhi berkata, saksi yang merupakan penjaga premis memaklumkan hanya
menyedari kebakaran sekitar pukul 5 pagi, selepas terdengar bunyi
penggera kereta sebelum mendapati api telah marak.
Katanya
hasil siasatan awal, polis percaya insiden itu adalah perbuatan khianat
dengan simbahan bahan bakar, berdasarkan penemuan satu bekas plastik
berbau bahan bakar dalam salah sebuah kenderaan terlibat.
Bagaimanapun,
motif sebenar insiden masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut
Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat
menggunakan api, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14
tahun dan dikenakan denda.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan