“NAMPAKNYA tiada rezeki saya untuk meneruskan operasi rumah perlindungan untuk kanak-kanak dan remaja malang di sini dan saya reda dengan ketentuan ini.”
Itu kata Pengasas Rumah Kebajikan Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Selangor, Norlela Othman, 57, yang akhirnya terpaksa akur dengan perintah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk keluar dari kediaman sedia ada selepas mendapat satu aduan mendakwa penghuni rumah berkenaan mengganggu ketenteraman jiran sekeliling beberapa bulan lalu.
Menurut Norlela, dia dan semua penghuni perempuan perlu mengosongkan rumah berkenaan yang terletak di Jalan Megah 31 di Cheras selewat-lewatnya 30 Jun ini.
“Saya pujuk diri ini untuk terima takdir yang kami perlu keluar, namun jauh di lubuk hati saya masih sayangkan rumah ini yang mengumpul seribu kenangan pahit dan manis bersama penghuni di sini.
“Namun, apakan daya kami perlu meninggalkan tempat ini dan saya akur bagi keselamatan semua penghuni selain enggan menimbulkan masalah dalam kalangan penduduk di sini,” katanya kepada Harian Metro.
Norlela berkata, dia masih perlu mencari rumah untuk penghuni lelaki kerana rumah sewa yang baru diperoleh akan menempatkan penghuni perempuan dan bayi yang lebih memerlukan.
“Setakat ini saya dapat cari sebuah rumah dua tingkat yang sesuai untuk dijadikan rumah perlindungan pada kadar sewa bulanan RM2,500 dan saya masih perlu memastikan rumah itu menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum boleh diduduki.
“Namun, Alhamdulillah berkat doa dan bantuan pelbagai pihak, kos untuk ubah suai rumah berjaya dikumpulkan iaitu sebanyak RM15,000 termasuk deposit rumah berkenaan.
“Ini adalah permulaan yang baik untuk kami semua namun apa yang membimbangkan saya adalah komitmen untuk membayar sewa bulanan yang tinggi berbanding rumah sekarang yang hanya RM800 sebulan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan