Isnin, 1 Oktober 2018

Syed Saddiq: Gaji Teong Kim dikaji semula kerana kekangan dana



ULASAN | Saya dengan penuh rasa rendah diri meminta maaf kepada penyokong bola sepak tanah air. Seperti anda semua, saya juga mengidamkan hari di mana Malaysia akan layak ke Piala Dunia.

Sebagai menteri belia dan sukan, saya juga bertanggungjawab ke atas pembangunan semua sukan yang lain. Ada kalanya, keputusan yang sukar perlu dibuat demi pembangunan sukan negara secara keseluruhan. Saya harap rakan-rakan ambil masa untuk baca penjelasan saya.

Saya tidak memecat Lim Teong Kim dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (PPBN) akan diteruskan.

Saya ingin ulang sekali lagi seperti apa yang saya katakan dalam kenyataan akhbar berkenaan hala tuju PPBN selepas kegagalan skuad negara dalam melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun di Peru tahun hadapan.

Selepas sahaja perlawanan tersebut, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memecat Lim sebagai jurulatih Skuad Bawah 16 tahun kebangsaan.

Ini tiada kaitan dengan PPBN dan beliau masih merupakan pengarah Akademi Bolasepak Negara yang sah di bawah PPBN sehingga kini.

Tetapi saya tidak boleh lari dari realiti PPBN yang menghadapi situasi kewangan yang sangat teruk pada waktu ini. Dana khas daripada kerajaan terdahulu yang dijanjikan sebanyak RM20 juta setahun tidak turun seperti yang dijanjikan sejak tahun pertama PPBN dilancarkan.

Akibat masalah ini, Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini terpaksa menggunakan dana mereka sendiri yang diambil dari peruntukan untuk keperluan lain bagi menanggung perbelanjaan PPBN.

MSN bertanggungjawab untuk membangunkan semua sukan, tetapi kerana dana yang dijanjikan kerajaan terdahulu tidak diturunkan, dana MSN terpaksa digunakan.

Dari RM20 juta yang dijanjikan setiap tahun diberi oleh kerajaan terdahulu, akhirnya pada tahun 2016 dan 2017, kita hanya terima RM3.5 juta setiap tahun.

Adil kepada sukan lain

Saya tetap dengan pendirian untuk menilai semula pakej gaji yang diberikan pada Lim di bawah PPBN. Ini bukan bermaksud saya mempersoalkan kelayakan beliau menerima jumlah gaji tertentu.

Rakyat perlu maklum bahawa sebelum ini 80 peratus daripada gaji beliau dibayar oleh penaja tetapi semenjak dua tahun yang lepas, MSN menanggung kesemua pembayaran tersebut selepas penaja menarik diri. Tanggungjawab MSN kepada sukan lain akan turut terjejas.

Saya juga mahukan Lim terus menerajui PPBN dengan kepakaran yang beliau ada, tetapi situasi kewangan yang ada pada MSN ketika ini tidak mampu untuk menanggung pakej yang sama.

Jadi saya harap perbincangan dengan beliau bakal menemukan titik tengah yang menguntungkan kedua-dua belah pihak demi masa depan bola negara.

Penilaian semula melalui jawatankuasa seperti yang saya katakan adalah bukan sahaja terhadap gaji pengurusan PPBN, tetapi ia akan merangkumi semua aspek dalam program tersebut. Pengurusan, pertandingan, perbelanjaan alatan dan paling penting, atlet muda kita.

Sebagai menteri belia dan sukan, peruntukan terhad yang diberi pada MSN perlu digunakan secara adil untuk pembangunan sukan-sukan di Malaysia.

Ini termasuk sukan berprestasi tinggi yang lain yang juga memerlukan bantuan peruntukan dari pihak kerajaan. Sebagai contoh, semalam sewaktu saya bersama kontinjen paralimpik yang akan ke Sukan Asia, mereka menerima RM300,000 untuk menampung perbelanjaan ke sana.

Saya rasa sedih sebab ini tajaan bagi satu kontinjen besar, bukan satu pasukan atau satu sukan sahaja. Kalau boleh saya nak bantu mereka semua dengan adil. Saya berterima kasih kepada penaja-penaja yang sudi membantu kontinjen paralimpik negara ke Sukan Asia.

Berkenaan bajet tahunan daripada kerajaan untuk program PPBN, saya akan juga berbincang dengan rakan sejawat dari Kementerian Kewangan untuk mengambil kira keperluan peruntukan yang sesuai dan munasabah bagi terus membantu membangunkan bola sepak di peringkat pembangunan dan akar umbi ini, bagi memastikan kecemerlangan bakat dan martabat bola sepak negara di masa hadapan.

Pada masa yang sama, usaha untuk membawa masuk lebih banyak penaja sedang diteruskan dan menampakkan perkembangan yang positif.

Kita perlukan lebih penglibatan daripada sektor korporat dalam pembangunan sukan negara. Dan ini bukan sahaja hanya tertumpu pada bolasepak malah dalam sukan-sukan yang lain juga. Paling penting, atlet muda kita semua dijaga dan tidak terabai masa depan mereka.

Oleh itu, dalam proses penilaian semula PPBN, saya dengan rasa takzim ingin menjemput para peminat untuk sama-sama menyumbangkan idea bagi menambah baik program pembangunan akar umbi ini. Saya akan hadir bersama pemegang taruh yang lain. Saya perlukan anda semua bantu dalam proses ini. Kita jumpa di sana.


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN merupakan menteri belia dan sukan.

Tiada ulasan: