Jumaat, 26 Oktober 2018

Timbalan Speaker minta menteri, timbalan berdisiplin hadir ke Dewan Rakyat

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon meminta menteri dan timbalan menteri untuk lebih berdisiplin menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, walaupun mempunyai tanggungjawab lain sebagai anggota pentadbiran kerajaan, namun mereka perlu mengatur jadual tugas dengan baik agar boleh juga hadir ke Parlimen.

“Saya tahu menteri, timbalan menteri sibuk, saya tahu mereka ada jadual yang waktunya sama ketika dewan bersidang, bagi pihak Parlimen kita minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan.

“Kalau menteri tidak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat, mungkin keutamaan hadir ke program lain boleh diatur dengan cara lebih baik lagi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas insiden di dalam dewan ketika sesi soal jawab lisan hari ini di mana menteri atau timbalan menteri dari Kementerian Dalam Negeri tidak berada di dalam dewan ketika soalan berkaitan kementerian itu dikemukakan.

Soalan itu berada pada nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini dikemukakan Ali Anak Biju (PH-Saratok) yang meminta Kementerian Dalam Negeri menyatakan status dan perancangan pembinaan Ibu Pejabat Polis Saratok yang baharu bagi menggantikan Ibu Pejabat Polis sekarang.

Soalan itu kemudiannya dijawab Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin bagi pihak Menteri Dalam Negeri.

Keadaan itu tidak disenangi Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang kemudiannya bangkit menggesa agar satu peraturan dibuat supaya menteri dan timbalan menteri dapat hadir jika soalan mengenai kementerian masing-masing dikemukakan.

Mengulas mengenai insiden itu, Rashid berkata perkara itu tidak menjadi isu kerana Peraturan Mesyuarat 24, Dewan Rakyat menyatakan mana-mana menteri boleh menjawab soalan yang dikemukakan dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof tidak perlu membuat peraturan.

“Keadaan hari ini mungkin berlaku kerana kita percepatkan sesi soal jawab lisan, selalu hanya sampai kepada soalan keenam, ketujuh atau kelapan, tapi kali ini sampai kepada soalan ke-13 dan ke-14, tambahan pula ada empat orang anggota Parlimen yang sepatutnya bertanya soalan tetapi tidak hadir,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman yang hadir ke Parlimen selepas Dewan Rakyat bersambung petang ini berkata beliau tidak menyangka sesi soal jawab lisan hari ini sampai kepada soalan itu kerana kebiasaannya sesi tamat pada soalan nombor lapan atau sembilan sahaja.

Katanya, secara kebetulan lagi, ketika itu beliau dan menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang menghadiri acara rasmi di kementeriannya mengenai pemberian kewarganegaraan menyebabkannya tidak dapat berada di Dewan Rakyat.

“Kita pun tidak sangka ada empat anggota Parlimen (yang sepatutnya bertanya soalan mengikut aturan urusan meysuarat) tidak datang di mana ini jarang berlaku, tapi kita sudah bincang dengan kementerian tadi dan kita ambil maklum dan kita minta pegawai bersedia di Parlimen kalau ada kes kecemasan,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: