Selasa, 23 Oktober 2018

Tragedi Bukit Kukus: Pemaju tidak patuhi pelan ESCP - Zairil

Astro Awani
Tragedi Bukit Kukus: Pemaju tidak patuhi pelan ESCP - Zairil
Satu notis arahan telah dikeluarkan kepada perunding projek meminta pemaju mengambil tindakan mitigasi dalam tempoh 14 hari. - Foto Bernama
 
 
GEORGE TOWN:Kontraktor projek jalan berkembar di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini didapati tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).
 
Pengerusi Kerja Raya Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pemeriksaan mengejut Jawatankuasa ESCP di tapak projek berkenaan pada 8 Oktober mendapati terdapat empat perkara yang boleh menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
 
Zairil berkata, perkara itu, membabitkan bahagian tanah atas dibiarkan terbuka tanpa lapisan sungkupan (mulching) atau rumput dipasang atau ditanam di situ, selain kawasan cerun tidak dilitupi lapisan geotekstil.
 
Susulan itu, satu notis arahan telah dikeluarkan kepada perunding projek meminta pemaju mengambil tindakan mitigasi dalam tempoh 14 hari.
 
"Pasukan Ops Lumpur telah menjumpai beberapa  perkara dimana ada berlaku ketidakpatuhan, yang pertama (batuan) sedimen tidak mematuhi apa yangg diluluskan dalam ESDP dan stock pile tidak diselenggara dengan baik, ada kemungkinan aliran sungai relau, akan terjejas bila hujan lebat.
 
 "Juga tidak ditutup dengan rumput ada beberapa open slope yg tidak  ditutup dengan geotextile shit, ketiadaan fencing di lereng bukit, maka kalau ikut SOP (Prosedur Operasi Standard) Ops Lumpur ini, sepucuk surat telah dikeluarkan kepada perunding projek untuk meminta agar tindakan mitigasi dilakukan," kata Zairil di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai insiden tanah runtuh  di tapak projek jalan berkembar di Bukit Kukus yang sehingga kini telah meragut sembilan nyawa pekerja binaan.
 
Menurutnya, tindakan diambil selepas menerima laporan daripada  pertubuhan Penang Hills Watch pada 28 September yang diserahkan melalui ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),  Chee Heng Leng berhubung masalah banjir lumpur.
 
Jelasnya, Jawatankuasa ESCP atau  Ops Lumpur ditubuhkan untuk mengkaji masalah banjir lumpur di kawasan tapak projek dan tidak melibatkan masalah cerun bukit.
 
Mengulas lanjut,  Zairil berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan yang berlaku dimana-mana tapak projek di negeri itu.
 
Mengenai insiden di Bukit Kukus, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan ke atas pihak kontraktor sekiranya mereka didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
 
Pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu  sebelum mengambil sebarang tindakan.

Tiada ulasan: