Khamis, 18 Oktober 2018

Hapus tol: Cadangan menang-menang dari PAS

 
 
PENEGASAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemansuhan tol mustahil dilaksanakan atas alasan hutang negara; menjadi senarai terbaharu Manifesto PH yang gagal ditunaikan. Malah, kenyataan beliau menyanggahi komitmen para pimpinan PH yang menjadikan perkara tersebut modal kempen pada PRU14.
 
Bahkan terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum PRU14 lagi begitu yakin dan tegas untuk tol dihapuskan sekiranya PH menerajui Kerajaan Persekutuan. Kini rakyat semakin merasai harapan yang kian terburai musnah oleh janji-janji manis penuh kepalsuan dan pembohongan diulit pelbagai alasan.
 
Semua kegagalan ini di sisi rakyat adalah pengkhianatan dan kekecewaan yang sudah pasti dihempaskan pula kesalahan tersebut kepada politik. Menjadikan moral politik dan amanah kepimpinan dirosakkan oleh janji-janji serta pengharapan dari ahli politik yang kemudian sewenangnya bersikap 'lepas tangan'.
 
Iktibar harus diinsafi semua betapa politik bukan soal pilihan raya untuk dihitung menang kalah atau meraih jawatan mahupun kepentingan. Tetapi pertanggungjawaban berat untuk negara dan kesejahteraan hidup hingga kepada soal masa depan. Manakala bagi orang Islam pula mengimani akan dihisab di Hari Akhirat kelak.
 
Oleh itu, keterlanjuran yang telah dilakukan masih belum terlambat untuk PH betulkannya. Aspirasi rakyat yang tersandar kepada janji manifesto sebagai dokumen ikrar dan pembinaan Malaysia Baharu mesti dipenuhi. Nilai dan fundamental politik untuk membina kejayaan harus didukung sebaiknya.
 
Penstrukturan semula ke arah mengurangkan beban wajar diadakan sebagai satu pembelaan terhadap himpitan ekonomi rakyat. Ini selaras perakuan PH berkaitan tekanan sara hidup rakyat sepanjang di bawah pemerintahan BN, maka penyelesaian yang 'melepas dan membebaskan' rakyat mesti dilakukan.
 
Mengatasi isu ini, kami menyeru agar Kerajaan PH menerima cadangan PAS sebagaimana Manifesto Gagasan Sejahtera supaya mengkaji konsesi tol khususnya yang telah melebihi 15 tahun. Pemegang konsesi perlu kemukakan penyata terkini melibatkan trafik kepenggunaan dan kos penyelenggaraan.
 
Menerusinya, nilaian yang dimaklumi sering mencatat keuntungan besar kepada syarikat konsesi membolehkan penstrukturan ke arah setidak-tidaknya pengurangan kadar tol diadakan. Ini adalah langkah awal dan menang-menang yang dapat dirintis antara syarikat konsesi dan pengguna pada ketika ini.
 
PAS juga telah mencadangkan agar pemilikan syarikat konsesi 'dimilikrakyatkan' semampu mungkin. Ia dapat dilaksanakan melalui agensi dan pelaburan rakyat seperti PNB, KWSP, KWAP, TH, LTAT, bahkan juga koperasi-koperasi kecil yang aktif. Ini agar dividen dan keuntungannya kembali ke kantung rakyat.
 
PAS juga telah mengusulkan agar sebarang pembinaan lebuh raya akan datang diteruskan menerusi penglibatan rakyat semaksimum mungkin dengan terbitan sukuk infra khas bagi tabungan rakyat. Ia agar keuntungan berkaitan kembali ke poket rakyat dan bukannya diraih segelintir konglomerat yang super kaya. 
 
"Islam Memimpin" 
 
"Terus Mara" 
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN, Timbalan Ketua PemudaDewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: