Selasa, 23 Oktober 2018

Najib: Ramai menteri tak dapat tidur malam agaknya

MALAYSIAKINI

   
PARLIMEN | "Lain kali saya tulis di FB (Facebook), sudah," kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sejurus selepas beliau menyampaikan ucapan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Najib berucap semasa membahaskan usul laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Tampil dengan gaya biasanya seperti semasa masih menjadi kerajaan, Najib berucap panjang lebar membahaskan laporan tersebut dan sempat menyentuh pelbagai isu.

Bagaimanapun semasa ucapan itu dibuat jumlah kehadiran menteri dan timbalan menteri sangat terhad.

Keadaan itu turut dikongsi Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah melalui hantaran di media sosialnya hari ini.

"Ramai menteri dan timbalan menteri PH (Pakatan Harapan) cabut waktu Pekan berucap di parlimen," kata Shamsul Anuar.

Hantaran itu kemudian dikongsi Najib yang juga anggota parlimen Pekan.

Ada temu janji awal
 
Kata Najib sebelum ini ada pihak yang merungut apabila beliau selalu membuat kenyataan atau melontarkan pandangan mengenai isu semasa di Facebook.

Untuk rekod sejak akhir-akhir ini Najib memang aktif memuat naik hantaran di media sosial.

"Apabila saya tulis di FB, ada yang panggil (mahu) saya bawa ke parlimen.

"Apabila saya bawa ke parlimen, ramai menteri dan timbalan menteri hilang.

"Lain kali saya tulis di FB, sudah," kata Najib.

Beliau tidak berhenti di situ malah terus menyindir pemimpin kerajaan yang tiada dalam dewan berkenaan semasa ucapannya disampaikan.

"Mungkin kebanyakan menteri ada temu janji lunch awal. Mungkin juga ada satu dua yang terpaksa rehat tengah hari kerana tidak dapat tidur malam," katanya.

Sidang ditangguhkan untuk rehat dan makan tengah hari selepas Najib selesai menyampaikan ucapan tersebut.

Tiada ulasan: