Isnin, 22 Oktober 2018

Bajet 2019 beri petunjuk baharu hala tuju kerajaan



Bajet 2019 beri petunjuk baharu hala tuju kerajaan

Pembentangan Bajet 2019 pada bulan depan akan memberi petunjuk jelas serta lengkap kepada para pelabur mengenai hala tuju kerajaan dalam perancangan pembangunan ekonomi untuk tempoh setahun akan datang, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin.


Dr Mohd Radzi Jidin

Menurutnya, ini akan hanya melengkapkan lagi gambaran menerusi pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) Khamis lepas yang menjadi maklumat hala tuju dan kepimpinan kerajaan baharu yang diingini pelabur.

“Bagi saya, pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11 itu secara sendiri telah menjelaskan aspek itu dan pengumuman Bajet 2019 pada 2 November pula akan melengkapkan lagi keterangan mengenai pelan pembangunan ekonomi Malaysia bagi tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Pemegang Taruh bertajuk ‘Pengukuran Kemajuan Ekonomi Tulen Malaysia Dengan Mengambilkira Kebajikan Ekonomi dan Kelestarian Sumber,’ di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Radzi yang juga bekas pensyarah perakaunan forensik dari Universiti Tasmania, Hobart, Australia, juga menyifatkan situasi ekonomi negara ini berada pada tahap stabil.

“Bagaimanapun selepas tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 dengan kemenangan Pakatan Harapan, para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati,” katanya.

Malah, keputusan para pelabur juga berubah-ubah kerana dipengaruhi oleh banyak faktor termasuk perkembangan di dalam mahu pun di luar negara, katanya.

“Ini termasuk perang ekonomi di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kenaikan faedah di AS yang berperanan sebagai faktor penarik dan penolak untuk pelabur.

“Manakala dari sudut Malaysia, pelabur menunggu apa indikasi dan hala tuju kerajaan baharu…perkara ini yang akan beri faktor yang menarik atau sebaliknya untuk mereka,” katanya.

Selain itu, Mohd Radzi menyifatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukanlah suatu petunjuk jelas untuk membayangkan kadar pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya.

“(Sebagai contoh) apabila KDNK digambarkan telah meningkat tetapi rakyat tidak merasai pertumbuhan tersebut, inilah yang cuba dirungkaikan (menerusi pengenalan petunjuk baharu),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Seminar Kebangsaan Pemegang Taruh Prof Dr Jamal Othman berkata seminar separuh hari itu antara lainnya membincangkan petunjuk-petunjuk baharu yang dapat memberi gambaran lebih jelas mengenai pertumbuhan ekonomi negara.

“Selain KDNK, kita juga harus menilai pertumbuhan ekonomi dari segi kesejahteraan rakyat dan kesan kepada alam sekitar,” katanya.

Beliau juga kini mengetuai sekumpulan penyelidik menerusi inisiatif untuk memperkenalkan satu petunjuk prestasi ekonomi makro dianggap komprehensif dan inklusif dikenali Petunjuk Kemajuan Tulen (GPI) yang digunapakai secara meluas di negara maju seperti AS, New Zealand, Australia, Korea Selatan, China dan Jepun.-Bernama.

Tiada ulasan: