UALA LUMPUR: Biarpun
berlaku perubahan pada tema RMK11, setiap perancangan dan tindakan
kerajaan mestilah berpaksikan kepada rakyat, yakni memberi manfaat yang
maksimum secara menyeluruh.
Iaitu dalam maksud lain, tidak
mementingkan golongan atau kroni tertentu sahaja, demikian penegasan
oleh Dato' Che Abdullah Mat Nawi (PAS - Tumpat) pada perbahasan Usul
Kajian Separuh Penggal RMK11, di Parlimen semalam.
Menurutnya,
negara tidak akan menjadi maju seandainya terdapat negeri-negeri
dimundurkan, seperti tidak mempunyai sistem pengangkutan yang baik atau
infrastruktur-infrastruktur lain.
Kelantan ujar beliau sebagai
contoh, telah dianak tirikan sejak lebih 28 tahun lalu bermula 1990 di
bawah Perdana Menteri (PM) keempat yang juga PM pada hari ini di mana
dinafikan hak untuk mendapatkan lebuh raya dan pelabuhan.
"Kita (juga) dinafikan hak untuk
mendapat lapangan terbang antarabangsa walaupun Kota Bharu itu adalah di
antara lapangan terbang yang tersibuk dalam negara.
Kita
diabaikan dalam pembangunan untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk
satu jangka masa yang lama. Kita diabaikan dalam banyak projek-projek
pembangunan yang boleh membangunkan negeri.
"Paling besar kita dinafikan hak untuk
mendapatkan pendapatan bagi membangunkan sendiri negeri ini iaitu
royalti petroleum yang terhak kepada Kerajaan Kelantan melalui Akta
Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Kerajaan Negeri dan
Kerajaan Pusat serta Petronas.
Kalau wakil daripada Sabah dan
Sarawak menyatakan ketidakpuashati mereka terhadap sumbangan ataupun
bayaran royalti kepada mereka dengan kadar 5 peratus, Kerajaan Negeri
Kelantan hanya dibayar dengan kosong peratus," luahnya.
Beliau
turut memetik pandangan Peguam Negara yang pernah mewakili Kerajaan
Kelantan dalam tuntutan royalti telah menyatakan bahawa tidak ada sebab
tidak boleh menang dalam kes tuntutan itu melainkan hanya kerana tekanan
politik.
Semalam kata Che Abdullah, mereka yang dulunya
menuntut royalti itu telah berada dalam pihak kerajaan di mana
sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk melakukan keadilan kepada
Kerajaan Kelantan dengan terus membayar royalti tanpa sebarang dalih
lagi.
"Cuba bayangkan kesan daripada pengabaian ini yang bukan
sahaja memberi kesan semasa kepada rakyat, tetapi ia memberi kesan
jangka panjang yang membantutkan pembangunan ekonomi kini dan akan
datang.
"Ia juga memberi kesan berganda yang cukup besar
terhadap pembangunan ekonomi negeri ini yang akhirnya membantut usaha
menjadikan Malaysia negara maju. Amat menghairankan kita, apabila ada
pihak yang merasa gembira di atas kemunduran negeri-negeri yang
dianaktirikan ini.
"Kita boleh terima kiranya perasaan
gembira ini disuarakan oleh pimpinan politik kampung. Namun amat malang
kepada rakyat Malaysia apabila perasaan bangga dan gembira ini
dilahirkan ataupun terlahir daripada pimpinan utama negara yang
sepatutnya bertanggungjawab membangunkan semua wilayah dalam negara
ini," kesalinya.
Beliau turut memuji prinsip-prinsip ditegaskan
PM di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu khususnya berkaitan
masyarakat dunia yang teraniaya dan jaminan diungkapkan beliau.
Sehubungan
itu, beliau merayu atas semangat kasih sayang, keprihatinan dan
demokrasi yang tinggi agar janganlah didera rakyat Kelantan, sebaliknya
kembalikan hak dinafikan sebelum ini.
"Gunakanlah peluang kedua yang diberikan
oleh Allah S.W.T kepada PM hari ini untuk membetulkan kesilapan beliau
masa lalu. Jangan biarkan Negeri Kelantan yang bersempadan dengan negara
jiran, Thailand dilihat lebih mundur daripada kawasan sempadan negara
jiran itu.
"Sepatutnya menjadi prioriti kepada
Kerajaan Malaysia untuk memajukan kawasan sempadan negara. Kerana ia
membawa imej yang besar kepada negara di mata dunia. Hari ini, Thailand
telah lama membina tebatan banjir di sungai sempadan yang menyebabkan
air dari sungai yang sama hanya membanjiri sebelah Negeri Kelantan
sahaja.
"Rakyat Kelantan juga menumpang tuah
lebuh raya negara Thailand yang memilih untuk pergi ke Utara Tanah Air
seperti Kedah dan Perlis melalui Thailand. Kerana di sempadan negara
jiran yang penduduknya 80 peratus beragama Islam di Negara Thailand itu,
mereka mempunyai lebuh raya.
"Tetapi di negara kita di sempadan
Negara Thailand itu di Negara Malaysia yang penduduknya lebih 90 peratus
beragama Islam di Negara Malaysia ini, mereka dinafikan hak untuk
mendapat lebuh raya," kemuka beliau.
Beliau yang juga Setiausaha
PAS Kelantan berkata, banyak wang negara yang dibelanjakan di negara
jiran itu sekali gus turut memberikan kesan ekonomi kepada negara.
Dato'
Che Abdullah juga menggesa jangan didera rakyat Kelantan hanya kerana
pilihan politik, sedangkan rakan-rakan di sebelah kerajaan dulunya
adalah pejuang kepada kebebasan berpolitik.
"Apakah setelah diberi kuasa, tiba-tiba
pendirian berubah 180 darjah? Saya menyeru kepada PM, jangan akur kepada
suara-suara nakal pemimpin-pemimpin politik murahan yang hanya
mementingkan diri dan bertindak atas dasar dendam kesumat dan kebencian.
"Pandangan sentiasa berubah mengikut kedudukan dan kepentingan
diri. Semasa mereka bersama dengan Kerajaan Kelantan, mereka menyatakan
royalti mesti disalurkan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
"Tetapi apabila mereka tidak lagi
dipilih oleh rakyat Kelantan sebagai pimpinan Kerajaan Negeri, mereka
memberikan pelbagai alasan untuk menafikan hak Kerajaan Negeri.
"Semasa
mereka menjadi pembangkang dalam negara ini, mereka menyerang kerajaan
yang dipimpin oleh Umno-BN masa itu. Tetapi setelah menjadi kerajaan,
mereka bertindak seperti kerajaan yang terdahulu," ujarnya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan