Khamis, 25 Oktober 2018

Umno gesa kerajaan putuskan cadangan tangguh bayar PTPTN

 


PETALING JAYA: Umno hari ini menggesa kerajaan memutuskan cadangan memulakan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di tangga gaji RM4,000, ekoran pendedahan tentang penurunan kutipan bayaran balik.

Ketua Penerangan Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata kerajaan perlu membuat keputusan segera agar cadangan itu tidak mempengaruhi pertimbangan peminjam.

“Saya menjangkakan PTPTN tidak akan mencapai angka RM4 bilion kutipan tahun ini kerana polisi barunya. Barangkali hanya sekitar RM2.7 bilion sahaja. Ini merosot berbanding RM3.4 bilion pada 2016 dan RM3.985 bilion 2017 lalu,” katanya.

Umno juga menggesa kerajaan melaksanakan semula sekatan imigresen kerana dasar baharu itu menguntungkan mereka yang sudah mendapat pinjaman tetapi merugikan pelajar-pelajar baharu.

“Saya ingin nyatakan sehingga April 2018 sejumlah RM1.9 bilion dikutip melalui senarai hitam sekatan imigresen. Bayangkan jumlah ini boleh menampung ramai pelajar yang memerlukan pinjaman,” katanya.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hari ini mendedahkan kutipan bayaran balik PTPTN turun sebanyak RM506.78 juta.

Teo berkata penurunan dilihat selepas kerajaan sekarang mengeluarkan nama peminjam bermasalah daripada senarai hitam imigresen, tetapi penurunan itu disebabkan oleh tindakan kerajaan dulu memanjangkan tempoh tangguh (grace period) pembayaran balik pinjaman daripada 6 bulan kepada 12 bulan.

Teo berkata seramai 429,945 orang peminjam dikeluarkan daripada senarai hitam antara 24 Mei hingga 8 Jun lalu.

Timbalan menteri berkata selepas tindakan itu, jumlah kutipan bayaran balik PTPTN yang diterima mulai Jun hingga September 2018 adalah RM817.56 juta, berbanding dengan RM1324.43 juta pada 2017.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN semua peminjam yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Tiada ulasan: