Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata pihak berkuasa agama sudah menerbitkan banyak fatwa berhubung keperluan vaksin dan imunisasi dan menggesa ibu bapa yang masih ragu-ragu supaya merujuk pakar bidang.
“Kita telah buat fatwa banyak kali. Harus dan boleh kita pakai kalau tiada benda lain dan hanya itu sahaja yang ada, bahkan wajib kita pakai untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.
Vaksin adalah bahan yang dimasukkan ke dalam tubuh untuk merangsang sistem pertahanan supaya ia mengenali penyakit tertentu dan melindungi penerima daripada jangkitan.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak berusia 14 bulan meninggal dunia pada 15 Oktober lepas akibat mengalami difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan. Kementerian Kesihatan dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu tidak pernah menerima imunisasi difteria kerana keluarganya enggan menerima imunisasi.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak berusia 2 tahun meninggal dunia pada 14 Mac selepas dijangkiti difteria. Kementerian berkata kanak-kanak itu tidak mendapat imunisasi difteria kerana siasatan awal mendapati keluarganya enggan mendapatkan imunisasi.
“Ibu bapa tidak sepatutnya fikir begitu. Kalau sudah dinasihatkan oleh pihak berkuasa kesihatan, mereka mesti ambil. Wajib ambil,” katanya.
Harussani, yang juga ahli majlis fatwa kebangsaan, mengingatkan ibu bapa bahawa “Islam itu mudah” dan menggesa mereka memikir semula persepsi negatif terhadap vaksin.
“Jangan menyusahkan diri melainkan kamu akan tewas,” tambahnya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan tahun lepas berkata suntikan vaksin satu kemestian agar dapat membendung penyakit merbahaya dari peringkat awal.
“Bukan sahaja individu yang tidak mengambil vaksin akan terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit yang merbahaya, malah dia juga berpotensi membahayakan orang lain dan akhirnya bakal mengancam ‘herd immunity’ yang dibina selama ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan