Isnin, 22 Oktober 2018

Kerajaan P Pinang dikecam semasa memperingati mangsa tanah runtuh

Peserta memegang kad tertera nama mangsa yang terkorban.
GEORGE TOWN: Sekumpulan warga Pulau Pinang berkumpul untuk memperingati pekerja asing yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus hari ini, mengatakan rayuan menghentikan penggondolan bukit daripada para aktivis tidak didengari.

Kumpulan itu membawa bunga-bungaan warna putih, lilin dan plakad, serta mendirikan memorial buat mereka yang maut, berserta nama dan kerakyatan mereka tertera pada sekeping kertas.

Acara itu juga memperingati 11 nyawa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah setahun lalu (21 Oktober), selepas cerun bukit setinggi 10m runtuh menimpa mangsa di tapak pembinaan sebuah pangsapuri.

Aktivis Lim Li Lian menyampaikan ucapan dan berkata pekerja asing yang terkorban dalam 2 tragedi itu mempunyai keluarga yang bergantung kepada mereka.
Aktivis Lim Li Lian menyampaikan ucapan di acara memperingati pekerja asing yang terkorban.
“Kerajaan tidak berbuat apa-apa. Sekarang semua orang ini sudah terkorban, jadi bagaimana dengan anak-anak dan isteri mereka? Tahukah anda betapa susahnya menjadi ibu tunggal? Cukuplah,” katanya.

Dengan air mata bercucuran Lim berkaa kejadian itu boleh dielakkan jika kerajaan negeri mendengar amaran demi amaran daripada kumpulan yang membantah penggondolan bukit.

Beliau berkata Penang Hills Watch bulan lalu menghantar laporan kepada Exco Zairil Khir Johari, dengan gambar bukit-bukit yang “habis semuanya ditebang”.

“Laporan itu secara khusus mengatakan tiada langkah-langkah mitigasi diambil. Apa tindakan mereka? Apa tindakan kontraktor? Apa tindakan Zairil? Apa tindakan kerajaan Pulau Pinang?” katanya.

“Ini bukanlah ketentuan Tuhan. Ini bukanlah seperti padang pasir Sahara yang tidak pernah hujan.”
Penyelamat setakat ini berjaya membawa keluar 7 mayat daripada runtuhan. Tiga lagi masing hilang.
Bunga kekwa putih diletak berdekatan tapak tragedi di Bukit Kukus.
Semua mangsa adalah pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Lim berkata kerajaan negeri tidak belajar daripada kejadian tanah runtuh Tanjung Bungah tahun lalu.

“Nampaknya kamu semua (ahli politik) tidak peduli. Sibuk muatnaik gambar lawat kawasan selepas tragedi melanda.

“Nenek dan datuk saya, yang berusia lebih 80 dan 90, masih keluar bertongkat dan mengundi kamu, walaupun kamu sudah bertahun-tahun berjanji akan atasi masalah banjir.

“Mereka sudah tua dan masih mengundi kamu. Mana hati nurani kamu?

“Saya tak boleh tahan lagi. Saya sedar mereka yang ada hati nurani sudah meninggalkan parti dan kamu yang lain-lain ini, nampaknya semasa kami mengundi kamu sebenarnya kami mengundi ketamakan.

“Moga Tuhan kasihani kita,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: