Isnin, 22 Oktober 2018

Tanah runtuh: Mayat keempat mangsa tanah runtuh ditemui

THE MALAYSIAN TIMES



GEORGE TOWN: Mayat keempat mangsa tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, iaitu lelaki warga Indonesia dibawa keluar dari timbunan tanah pada 11.55 pagi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata mayat Bahtiar, 36, ditemukan oleh Unit Anjing Pengesan (K9) di sektor satu tidak jauh dari lokasi mayat ketiga dijumpai awal pagi tadi.

“Mayat itu ditemui pada 11.30 pagi dan kami berjaya mengeluarkan mayat daripada timbunan tanah pada 11.55 pagi. Mayat ditemui kira-kira 20 ke 30 meter dari mayat ketiga ditemui.

“Tumpuan pencarian kami adalah di kawasan berhampiran mangsa terakhir dijumpai. Kami percaya mereka ini berada berdekatan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata setakat ini tiga lagi mangsa dipercayai masih tertimbus.

“Terbaharu ada rakan mangsa memaklumkan kepada kami ada lagi seorang mangsa warga Bangladesh dipercayai terperangkap dan menjadikan jumlah mangsa yang masih tertimbus tiga orang iaitu seorang warga Indonesia dan dua warga Bangladesh.

“Kami akan maklumkan kepada pihak polis berkenaan tambahan mangsa yang dipercayai masih tertimbus,” katanya.

Saadon berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dihentikan buat sementara jika hujan demi keselamatan anggota penyelamat berikutan struktur tanah yang lembut.

Kejadian tanah runtuh yang dilaporkan pada 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala tiga lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19 dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat ketiga Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pada 1.30 pagi tadi.—Bernama

Tiada ulasan: