Presiden PKR , Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau menanggung keperitan hati untuk merelakan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, pada awalnya perasaan itu muncul apabila mengenangkan peristiwa lama antara mereka berdua sehingga dirinya dipenjarakan.
Beliau bagaimanapun menukar fikiran serta menyokong Dr Mahathir yang akhirnya sanggup menerima perjuangan reformasi yang dicetuskan oleh PKR.
“Saya tahu perit dan pedihnya (mengizinkan Dr Mahathir) tetapi kita perlu ada kebijaksanaan. Saya tahu dan saya alami keperitan.
“Duduk dalam penjara, tak larat aku tapi saya senyum, namun luka di hati siapa yang tahu?
“Tetapi bila renung, antara derita saya amat kecil jika dibandingkan dengan derita ditanggung rakyat, antara perubahan dan negara, kita pilih negara dan rakyat.
“Selama 20 tahun saya berjuang dan akhirnya muncul ketua kerajaan (Dr Mahathir) yang mengungkapkan negara ini harus meninggalkan kebobrokan, rasuah dan kerosakan yang berlaku.
“Dahulu kita gesa reformasi kepada sistem kehakiman, SPRM, polis. Bezanya reformasi ini diucap oleh Dr Mahathir,” katanya dalam ucaptama program Pidato Malaysia Baru di Seksyen 7 Shah Alam pada malam Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut mengingatkan kepemimpinan parti itu supaya tidak melupakan diri dengan kejayaan membentuk kerajaan.
“Ingatlah perjuangan kita bermula dari jalanan ke parlimen dan kemudian ke Putrajaya pula.
“Sikap mahu berebut kuasa, kerakusan dan kegelojohan untuk merebut kekayaan hanya akan melemahkan kita semua,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan